Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyasarkan 80 peratus daripada graduannya akan mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian di UMT menjelang tahun 2020, berbanding hanya 65 peratus ketika ini.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Profesor Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata pihaknya masih belum berpuas hati dengan jumlah itu dan mahu melakukan beberapa penambahbaikan supaya lebih ramai graduan UMT laris di pasaran kerja.
"Adakah ia
kerana faktor graduan itu sendiri atau mungkin masih terdapat kelemahan dalam sesi pembelajaran di universiti atau adakah kita perlukan pembaharuan dalam penyusunan kurikulum di universiti?
"Kerana itu, saya sangat berharap agar dapat menemui kaedah penyelesaian yang berkesan dalam meningkatkan kualiti pengajian di universiti supaya graduan kita laku di pasaran kerja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kualiti Pembelajaran dan Pengajian di Kuala Terengganu semalam.
Persidangan yang disertai kira-kira 100 pensyarah dari universiti tempatan dan beberapa universiti luar negara turut membentangkan 65 kertas kerja mengenai peningkatan kualiti pembelajaran dan pengajian terhadap pelajar.
Noor Azhar berkata sehingga kini ada beberapa bidang di mana graduan UMT mudah mendapat pekerjaan antaranya bidang pengurusan pelabuhan, sains maritim, sains makanan, akaun dan kaunseling.
"UMT juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan lebih 60 syarikat industri untuk menempatkan pelajar yang ingin membuat latihan amali dan rakan industri itu akan ditambah dari semasa ke semasa.
"Kita akan kaji sama ada perlukan perubahan terhadap modul kurikulum di universiti supaya ia lebih terkini dan menepati kehendak pasaran kerja kerana kita tidak mahu mengajar pelajar sesuatu yang tidak diperlukan oleh industri," katanya.
No comments:
Post a Comment