Tuesday, October 16, 2012

DBP Rangka Sembilan Program Semarak Bulan Bahasa Kebangsaan Di Terengganu


Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menerusi Jawatankuasa Penyelenggara Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat negeri Terengganu, merangka sembilan program bagi menyemarakkan lagi Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP Rusli Abdul Ghani berkata BBK merupakan acara tahunan negara, justeru, semua program yang diatur akan meningkatkan lagi semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan.

> "Pihak jawatankuasa juga akan mengadakan Malam Bahasa Jiwa Bangsa, termasuk Pameran Penerbitan dan Kepustakaan serta jualan buku.

"Kita juga menjemput Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan dan ilmuan bahasa Profesor Dr Teo Kok Seong bagi menyampaikan syarahan sempena BBK ini," katanya pada Majlis Pelancaran BBK 2012 peringkat negeri di Taman Tamadun Islam semalam.

Beliau berkata antara program lain ialah Indahnya Pantun serta Kuiz Bahasa dan Sastera melalui Radio FM Terengganu, Sayembara Menulis Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Timur dan Sayembara Deklamasi Puisi.

"Semua program tersebut telah disusun dengan baik oleh pihak jawatankuasa dalam memenuhi aspirasi nasional yang ingin melihat rakyat hidup dalam rukun damai dan bersatu padu," katanya.

Rusli juga berkata anggota masyarakat, yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, mempunyai peluang dan ruang menyertai program yang dijalankan.

Tema sambutan BBK kali ini ialah 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara bertepatan dengan gagasan 1Malaysia, yang diperkenal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

No comments:

Post a Comment