Tuesday, October 16, 2012

Terengganu Harap Muncul Kuasa Baru Dalam sukan Muay Thai

Persatuan Muay Thai Terengganu berharap untuk muncul kuasa baru dalam sukan tersebut pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Kuala Lumpur, Julai depan.

Presidennya, Najmi Abdullah berkata meskipun sukan yang berasal dari Thailand dan masih baru di negeri ini, namun persatuan tersebut telah menggerakkan misi pencarian atlet berpotensi tinggi dalam bidang sukan itu.

Bagi tujuan mengenalpasti bakat baru, beliau berkata pihaknya mengadakan satu Kejohanan Muay Thai Negeri selama tiga hari di Pusat Latihan Tinju, Kampung Raja, Besut, yang berakhir semalam.

"Penyertaan adalah daripada beberapa buah persatuan daerah dan kampung itu," katanya kepada Bernama hari ini. Difahamkan acara Muay Thai merupakan buat pertama kalinya dipertandingkan pada SUKMA mulai tahun depan dengan diselang-selikan dengan acara tinju.

Bagaimanapun beliau khuatir kepada pembentukan pasukan wanita dalam sukan itu kerana kurang mendapat perhatian kerana golongan wanita menganggap sebagai sukan lasak yang ganas.

"Kecuali pasukan lelaki, hanya pasukan wanita sahaja yang masih perlu diberikan perhatian dan latihan memandangkan sepanjang kejohanan, hanya empat peserta wanita sahaja yang mengambil bahagian berbanding 36 lelaki," katanya.

Najmi, yang juga merangkap Presiden Persatuan Taekwondo Terengganu, berkata sebanyak dua siri kejohanan seumpama itu akan diadakan sebelum pasukan negeri ditubuhkan untuk Kejohanan SUKMA 2013.

Katanya, seramai 16 peserta termasuk dua wanita telah dikenalpasti untuk menjalani latihan dari kejohanan pemilihan semalam sebelum kejohanan kedua yang bakal diadakan pada Januari tahun depan.

"Persatuan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk memenuhi sembilan peserta lelaki untuk sembilan kategori yang dipertandingkan kecuali kategori wanita yang perlu diberikan perhatian lagi," katanya.

Kesemua atlet Muay Thai yang terpilih bagi mewakili Terengganu dari tiga kejohanan itu kelak akan menjalani latihan di Pusat Latihan Tinju di Besut, dua bulan sebelum SUKMA ke-16.

No comments:

Post a Comment