Sunday, October 7, 2012

Fama Terengganu Sasar Lahir 1,500 Usahawan Industri Asas Tani Menjelang Tahun 2020

Pasar Tani Mega turut membuka ruang kepada usahawan IAT.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu berazam melahirkan 1,500 usahawan Industri Asas Tani (IAT) di negeri itu menjelang tahun 2020.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata buat masa ini, Fama berjaya melahirkan kira-kira 600 usahawan IAT di Terengganu sejak lima tahun lepas.

"Kita berhasrat untuk melahirkan seramai 100 usahawan IAT setiap tahun dalam tempoh tersebut. Malah saya yakin angka ini akan dapat kita capai dalam lapan tahun lagi," katanya selepas program Mini Karnival IAT di tapak Pasar Tani Padang Hiliran semalam.

Beliau berkata usahawan IAT terdiri daripada mereka yang mengeluarkan produk berasaskan pertanian, makanan, barangan sejuk beku, minuman, kraftangan dan lain-lain.

Katanya, bagi mencapai matlamat itu, Fama akan menggandakan lagi usaha untuk membimbing serta memberikan asas perniagaan kepada mereka yang berminat.

Hasan juga berkata melalui karnival itu, usahawan IAT boleh mempromosi produk masing-masing selain mendapat pendedahan dan pengalaman dalam menangani kehendak pengguna.

"Yang lebih penting, mereka akan faham tentang selok-belok pasaran agar mampu mematangkan cara kerja mereka," katanya.

Sementara itu, Fama Terengganu akan menganjurkan Expo IAT di Dataran Shahbandar, yang dijangka melibatkan lebih 100 peserta pada akhir Disember ini.

Beliau berkata expo empat hari itu akan memperlihatkan pelbagai produk berasaskan pertanian, makanan dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment