Sunday, October 7, 2012

Final Piala Malaysia - Kelantan Sebelah Kaki, ATM Lega

Pemain Kelantan, Nik Shahrul cuba menanduk bola ketika perlawanan Piala Malaysia Kelantan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, malam semalam.
Kelantan sudah sebelah kaki ke final Piala Malaysia walapun terpaksa tunggu perlawanan ulangan di Stadium Shah Alam Jumaat ini (12 Oktober).

Sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengikat Lions XII dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Jaringan penyerang import, Marlon Alex James yang kini berusia 35 tahun pada minit ke-52 boleh dianggap ‘gol semangat’ buat ATM sebelum melayan kunjungan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang juga pada 11 Oktober ini.

Juara Piala FA dan Liga Super, Kelantan memulakan aksi separuh akhir pertama dalam saingan Piala Malaysia kali ini dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Selangor 1– 0 di Stadium Sultan Muhammad VII, Kota Bharu malam semalam.


Marlon (kanan) bersaing dengan pertahanan Lions XII, Baihakki Khaizan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Dengan kemenangan ini, Kelantan membawa bekalan selesa apabila bakal bertandang ke halaman lawan untuk menghadapi pertemuan kedua minggu depan.

Gawang tuan rumah sedikit cemas apabila percubaan pada babak awal perlawanan menerusi hantaran cantik Amri Yahya gagal dilaksanakan dengan baik oleh pemain import Selangor apabila tendangannya melambung tinggi.

Susulan serangan pasukan pelawat, pasukan tuan rumah mengatur strategi dan melakukan serangan balas namun percubaan Nurul Azwan Roya berjaya ditepis oleh Mohd Azlan Razali pada minit ketujuh.

Pada minit ke-15, Kelantan sekali lagi hampir mendahului lawan tetapi, tendangan Mohammad Ghaddar sedikit melencong ke tepi tiang gol. Pasukan tuan rumah tidak berputus asa dan Kelantan bagai dirasuk apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Selangor.

Pun begitu banyak kali percubaan Ghaddar dan Azwan Roya terus ke dalam dakapan penjaga gol Selangor.

Memasuki babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah memperkemaskan corak permainan dengan aksi yang lebih tersusun dan pemain importnya, Ghaddar hampir mencemaskan kem pasukan pelawat, namun tendangan lencongnya dari jarak 15 meter berjaya didakap kemas oleh Azlan.

Keghairahan tuan rumah dalam memburu gol pertama akhirnya tertunai apabila gerakan menarik Nor Farhan Muhammad berjaya menewaskan penjaga gol Selangor pada minit ke-63.

Selangor terus dihimpit tekanan apabila pemainnya, Snasriq Baharom terpaksa keluar dari padang kerana dilayangkan kad merah pada minit ke-64.

Umpama mendapat semangat dari gol pertama, anak didik Bojan Hodak melancarkan gerakan bertali arus melalui kombinasi pemain Mohd Badhri dan Ghaddar serta Indra Putra Mahyuddin pada babak akhir perlawanan, namun berjaya dikekang oleh pertahanan Selangor.

Berbaki 12 minit terakhir, Selangor masih terus melancarkan serangan tetapi kekebalan benteng pertahanan tuan rumah menafikan hasrat The Red Giants menyamakan kedudukan sekali gus menggagalkan misi anak buah Irfan untuk menamatkan badi kekalahan ketika beraksi di stadium keramat itu.

Pada aksi perlawnan ATM-Lion XII malam kelmarin, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan secara menyerang ke kubu lawan masing-masing.

ATM terlebih dulu menghukum tuan rumah apabila Marlon bijak menggunakan kelebihan fizikalnya untuk melepasi tonggak pertahanan Lions XII, Baihakki Khaizan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Lions XII memperoleh gol penyamaan menerusi Muhammad Safuwan Baharuddin pada minit ke-80.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma sebelum Safuwan menanduk masuk bola ke gawang ATM yang dikemudi penjaga gol, Farizal Harun. Biarpun gagal meraih kemenangan, pujian harus diberikan kepada ATM yang tampil buat kali pertama di atas padang rumput tiruan.

Pada masa yang sama, pengendali ATM, B. Sathianathan juga tidak dapat menurunkan barisan terbaik selepas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menjalani penggantungan satu perlawanan.

Bagaimanapun, Zaquan akan kembali memperkuat cabaran ATM bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua nanti.

No comments:

Post a Comment