Wednesday, October 17, 2012

Hoki Piala Razak - Terengganu Dalam Kumpulan B

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengkaji format Kejohanan Hoki Piala Razak bagi memperkasa serta mengembalikan status terbaik kejohanan itu seiring dengan usianya yang kini sudah 50 tahun.

Presiden KHM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, berdasarkan persembahan beberapa pasukan pada edisi ke-50 kali ini, beliau melihat terlalu jauh jurang persembahan dipamerkan di kalangan pasukan yang bertanding.

“Pasukan tewas seakan tidak bersedia sehingga akur dengan kekalahan besar seperti kemenangan Kuala Lumpur 6-1 ke atas Perak semalam.

“Oleh itu, kejohanan yang tertua di negara ini diharapkan dapat menghidupkan kembali kegemilangan sukan hoki berdasarkan kemudahan gelanggang bertaraf antarabangsa,” kata beliau kepada pemberita, semalam.

Sehubungan itu, Tengku Abdullah meminta semua pasukan yang bertanding pada kejohanan kali ini dapat mempamerkan mutu permainan membanggakan dan berkualiti tinggi.

Tengku Abdullah turut mengakui terdapat beberapa kelemahan dalam kejohanan itu terutama jadual pertandingan yang terlampau banyak perlawanan diadakan dalam satu hari.

Untuk itu, beliau berkata, pada tahun depan format kejohanan akan diperbaiki atau mungkin sistem baru akan diperkenal. Pada edisi ke-50 ini, sebanyak 15 pasukan berentap di Stadium Hoki Kuantan (SHK) selama sembilan hari bermula, semalam.

 Divisyen Satu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dibarisi juara bertahan Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perak dan Negeri Sembilan manakala Kumpulan B pula Pahang, Terengganu, Pulau Pinang dan Johor.

Divisyen Dua menyaksikan penyertaan Melaka, Selangor, Kedah, Perlis, Sabah, Kelantan dan Polis.

No comments:

Post a Comment