Wednesday, October 3, 2012

JPJ Tingkatkan Penguatkuasaan Sempena Tahun Melawat Terengganu

 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan meningkatkan operasi penguatkuasaan menjelang Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarah JPJ negeri Abdul Rahman Emang Anyie berkata langkah itu bertujuan mendidik pengguna jalan raya susulan jangkaan pertambahan kenderaan di atas jalan di Terengganu tahun depan.

"JPJ juga bersedia memastikan semua pelancong luar atau dalam negara berasa selamat semasa berada di atas jalan raya.


Penguatkuasaan kita lakukan ini bukan untuk mencari salah pengguna tapi lebih kepada mendidik serta memberi kesedaran," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata JPJ Terengganu akan mengadakan operasi berterusan di beberapa kawasan 'hitam' di sekitar jalan utama.

Diharapkan dengan strategi 'visible enforcement' ini, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati, katanya.

Abdul Rahman berkata selain mengadakan sekatan jalan raya, pihaknya juga akan teruskan mengadakan rondaan sepanjang masa bagi memastikan orang ramai sentiasa menyedari kehadiran JPJ.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 24,062 kenderaan pelbagai kategori didaftarkan oleh JPJ Terengganu antara Januari dan Ogos tahun ini.

"Pendaftaran motosikal paling banyak dibuat iaitu 15,363 diikuti pendaftaran kereta sebanyak 8,448 dan selebihnya kenderaan dagangan.

"Peningkatan yang ketara dalam pendaftaran melibatkan motosikal dan kereta mendorong JPJ menjalankan penguatkuasaan yang lebih kerap dan terancang bagi mencegah berlakunya kemalangan," katanya.

No comments:

Post a Comment