Sunday, October 7, 2012

Kerjasama Erat Kerajaan Negeri, Pusat Tarik Pelabur Asing

 

Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Pusat, mampu menarik pelabur asing datang melabur ke negeri ini, sekaligus membantu memberi pendapatan sampingan dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said  berkata usaha gigih yang dilakukan pemimpin kerajaan negeri dengan dibantu Kerajaan Pusat telah membantu membawa banyak pelabur asing ke negeri ini sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kini syarikat dari Korea Selatan dan Perancis bersetuju melabur RM2 bilion bagi membina loji bio-metionina pertama di dunia, di Taman Biopolimer Kertih di Kertih.


“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kerana telah membantu membawa pelaburan yang besar ke negeri ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, semalam.

Ahmad Said berkata, pihaknya berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Pusat akan terus kekal bagi memastikan pembangunan dan usaha menarik pelabur ke Terengganu berjalan lancar.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan memberi komitmen yang tinggi kepada Syarikat CJ CheilJedang dan Arkema yang terlibat dengan pembinaan loji bio-metionina ini bagi memastikan ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga kini sedang menggalakkan penanaman pokok petai belalang bagi membolehkan ia dibekalkan kepada kilang itu nanti.

No comments:

Post a Comment