Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) adalah pendekatan terbaik menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan itu kebelakangan ini.
Perkara itu dicadangkan Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid, bagi membolehkan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh mendapat mandat baru untuk terus memimpin persatuan.
“Ini adalah cara terbaik menghilangkan rasa tidak puas hati ramai penyokong bola sepak negeri. Melalui mesyuarat agung luar biasa, presiden PBSNT boleh mendapat mandat baru untuk terus memimpin persatuan dan ia adalah kaedah terbaik mengembalikan kepercayaan penyokong kepadanya,” katanya semalam.
Beliau berkata, jika presiden enggan memanggil mesyuarat agung luar biasa, inisiatif itu boleh diambil ahli gabungan PBSNT supaya kemelut bola sepak ini dapat diselesaikan segera demi nama baik Terengganu yang tercalar sekarang ini.
Kemerosotan persembahan pasukan Penyu dalam saingan Piala FA, Liga Super dan juga Piala Malaysia mencetus kemarahan peminat sehingga ada kumpulan bertindak liar menyerang kediaman Presiden PBSNT.
Pemecatan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris, Mei lalu selepas Terengganu kecundang di tangan Sime Darby di separuh akhir juga menempelak Che Mat walaupun Peter Butler menjadi ganti.
Butler yang tidak mampu mengemudi Terengganu ke pusingan suku akhir Piala Malaysia pula ditamatkan khidmatnya walaupun kontrak jurulatih berbangsa Inggeris itu masih berbaki 15 bulan lagi.
Yang terbaru, kempen ABC (Asal Bukan Che Mat) melalui laman Facebook dan penampalan poster gambar Che Mat yang dipangkah dengan dakwat merah terus berjalan selepas perhimpunan di Batu Buruk yang menyaksikan lebih 500 peminat meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepemimpinannya.
No comments:
Post a Comment