Friday, October 5, 2012

Pembangkang Sengaja Jadikan Isu Majlis Kahwin Anak Saya – Ali Rustam


Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pihak pembangkang di negeri ini sengaja menjadikan jumlah kehadiran 130,000 tetamu pada majlis persandingan anak lelakinya di Melaka Ahad lepas, sebagai isu.
Shamsul Iskandar Mohd Akin

Beliau berkata kehadiran ramai tetamu pada majlis itu memperlihatkan tanda sokongan di kalangan penyokong Barisan Nasional mahupun rakyat biasa terhadap beliau.

"Ini semata-mata sifat dengki (oleh pembangkang), mereka tiada kerja lain(bagi menimbulkan isu), terserah ...," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bank Persatuan Cawangan Melaka di Kota Fesyen, Ayer Keroh semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan pemimpin pembangkang Melaka agar beliau mengisytiharkan segala perbelanjaan untuk penganjuran majlis persandingan itu.

Majlis tersebut juga diiktiraf The Malaysia Book of Records sebagai tetamu teramai dalam majlis perkahwinan antara Mohd Ridhwan, 26, dan pasangannya Nur Azieha Mohd Ali, 26, di Dewan Tun Ali Bukit Katil.

Beliau secara berseloroh berkata kehadiran tetamu akan lebih ramai sekiranya majlis persandingan itu untuk bapa pengantin lelaki.

"Kalau saya yang kahwin...lebih ramai lagi yang akan hadir," katanya sambil tersenyum.

Sementara itu Pakatan Rakyat semalam  membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Melaka berhubung penganjuran kenduri kahwin mega anak kepada Ketua Menteri Melaka.

Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengetuai rombongan yang turut disertai Ketua Pembangkang Melaka Goh Leong San dan timbalan pesuruhjaya PAS negeri Kamaruddin Sidek.

Shamsul berkata, tiga isu dilaporkan kepada SPRM, seperti berikut:

(1) Perbelanjaan RM600,000 untuk walimatulurus itu, seperti dilaporkan The Malay Mail semalam - yang didakwa melebihi kemampuan seorang ketua menteri.

(2) Dakwaan anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bahawa terdapat penglibatan agensi kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dalam penganjuran majlis itu dan dana kerajaan digunakan tanpa bayaran.

(3) Dakwaan penglibatan Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) Datuk Yusof Jantan mempengerusikan persediaan mesyuarat mengenai persiapan hiasan luaran, kebersihan dan logistik majlis itu.

Kenyataan Shamsul direkodkan kira-kira sejam oleh pegawai SPRM.

Ali Rustam semalam dilaporkan menjelaskan kos untuk menganjurkan majlis itu murah namun kelihatan mewah disebabkan jumlah kehadiran - dilaporkan lebih 100,000 orang.

Akhbar itu juga memetik seorang setiausaha Mohd Ali, Datuk M S Mahadevan sebagai berkata, seramai 500 "sukarelawan" tidak dibayar dan penyedia makanan serta perkhidmatan juga berbuat demikian secara percuma.

Sementara The Malay Mail melaporkan Mohd Ali sebagai berkata, kos jamuan itu sebanyak RM600,000 dan bukan RM1.3 juta seperti anggaran pemimpin Pakatan, atau RM13 juta seperti dianggarkan pemimpin DAP Lim Kit Siang.

No comments:

Post a Comment