Thursday, October 18, 2012

Nasib Peter Butler Hari Ini, FAM Timbang Rayuan

Nasib bekas jurulatih Terengganu, Peter Butler berhubung rayuan hukuman gantung, yang dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), akan diketahui hari ini.

Ini diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pada sidang Media Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 di Wisma FAM, hari ini.

"Esok (hari ini) akan diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan selepas itu, kita akan membincangkan mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas Butler. "Butler mungkin tidak akan hadir, tetapi dua wakil dari pasukan Terengganu dijangka turut serta," kata Azzuddin.

Pada pertengahan bulan lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan untuk menggantung Butler selama enam bulan dan mengenakan denda RM4,000 terhadap jurulatih dari England itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Ahmad Shukri Zakaria berkata, Butler dikenakan hukuman itu bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

Beliau berkata, pemain terbabit, Mohd Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi, mengaku keluar serta balik ke hotel lewat malam hampir pukul 3 pagi sebelum perlawanan Terengganu menentang Kedah di Alor Setar pada 28 Ogos lepas.

Selain isu Butler, Azzuddin turut menjelaskan akan membincangkan kes berkaitan beberapa pemain yang didapati bersalah berhubung isu tatatertib.

"Mesyuarat juga membincangkan nasib beberapa pemain yang mengaku bersalah. "Jadi, semuanya akan diketahui dalam mesyuarat esok yang diadakan di Wisma FAM," jelas beliau lagi.

No comments:

Post a Comment