Tuesday, October 16, 2012

PAS Perlu Ketepi Fahaman Politik Bantu Sekolah Agama Rakyat - Muhyiddin

"Saya dah buka tawaran ini sejak dulu, lebih mudah untuk kita bantu bukan saja infrastruktur, kualiti guru, kurikulum yang diajar dan lain-lain bentuk bantuan. Saya kemuka cadangan itu supaya diterima oleh mereka tapi malangnya sebahagian besar anggap tak boleh, tak mahu bersama dengan kementerian kerana dia anggap kementerian ini BN punya. Ini bukan soal politik.."
- Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata parti pembangkang khususnya PAS perlu mengenepikan fahaman politik dalam usaha memartabatkan sekolah agama rakyat (SAR) serta menjaga kebajikan pelajarnya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha menjaga kebajikan SAR secara lestari dalam tempoh jangka panjang akan lebih mudah dilaksanakan jika PAS boleh membantu SAR berdaftar dengan kementerian.


"Daftar dengan Kementerian Pelajaran. Saya dah buka tawaran ini sejak dulu, lebih mudah untuk kita bantu bukan saja infrastruktur, kualiti guru, kurikulum yang diajar dan lain-lain bentuk bantuan. Kalau itu boleh dipersetujui untuk kebaikan pembelajaran dan pengajaran...maka daftarlah. Kita boleh bantu secara terancang.

"Saya kemuka cadangan itu supaya diterima oleh mereka tapi malangnya sebahagian besar anggap tak boleh, tak mahu bersama dengan kementerian kerana dia anggap kementerian ini BN punya. Ini bukan soal politik...kalau boleh buat, boleh kurang masalah," katanya.

Beliau menyatakannya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat dasar bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata sungguhpun SAR tertakluk di bawah kawalan kerajaan negeri namun kerajaan persekutuan tetap menyalurkan bantuan kepada SAR termasuk sekolah-sekolah yang masih belum berdaftar dengan kementerian.

Katanya RM10.5 juta peruntukan perkapita disediakan bagi SAR yang menjalankan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada tahun ini.

Pada tahun lepas, RM95 juta disalurkan secara dibayar sekali sebagai bantuan ihsan kepada 247 SAR di seluruh negara.

"Saya sedar sekolah-sekolah ini masih memerlukan bantuan, justeru dengan jumlah peruntukan yang kita ada, mungkin bantuan ehsan ini boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada kes demi kes melalui permohonan dari SAR yang benar-benar memaklumkannya," kata Muhyiddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan pemberian peruntukan yang tidak adil kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

Jelasnya, semua sekolah di bawah bidang kuasa kementerian diberikan peruntukan yang saksama merangkumi emolumen, utiliti, Bantuan Geran Perkapita, bantuan kokurikulum, bantuan sukan dan lain-lain mengikut jumlah murid di setiap sekolah.

Katanya, pada tahun ini RM937 juta disediakan untuk pengoperasian sekolah (belanja mengurus) bagi 8,216 buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan, RM87 juta untuk 1,294 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan RM19.2 juta bagi 523 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

No comments:

Post a Comment