Friday, October 5, 2012

Road Warrior 13 Berusaha Bantu Kekang Rempit


Dalam pada memenuhi minat dalam sukan pemotoran, kelab motosikal Road Warrior 13 turut menjalankan tanggungjawab sosial bagi membantu pihak penguat kuasa membanteras aktiviti tidak sihat dalam kalangan mat rempit.

Presidennya, Tuan Syed Shahrizal Al-Qudsi berkata, aktiviti itu dijalankan secara serius bermula 13 Mei lalu dengan menggunakan kaedah pendekatan secara sihat terhadap kumpulan mat rempit.

“Penubuhan kelab ini bertujuan membendung aktiviti tidak sihat di kalangan mat rempit yang kerap mengganggu ketenteraman awam di samping menggalakkan ahlinya menjadi pengguna jalan raya yang berhemah mengikut undang-undang

 “Kita juga menunjukkan cara-cara sukan pemotoran dan pengubahsuaian motosikal yang betul sebagaimana diluluskan pihak berkuasa kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, kelab itu mempunyai keahlian lebih 50 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta serta beberapa individu daripada kumpulan mat rempit sendiri.

“Walaupun pada awalnya penubuhan kelab ini lebih tertumpu kepada aktiviti rekreasi dan riadah, namun setelah melihat kepada senario yang melanda golongan muda hari ini, kita perlu lakukan sesuatu untuk banteras aktiviti tidak sihat itu.

"Selain merealisasikan objektif membanteras jenayah mat rempit, kita turut menjalankan pelbagai aktiviti sampingan seperti konvoi amal dan jungle trekking.

Kita juga mahu luaskan aktiviti kelab ini di luar daerah dan negeri,” katanya.

Baru-baru ini, JPJ Terengganu mengakui kegiatan rempit oleh samseng jalanan di negeri ini semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, jabatan itu memerlukan bantuan semua pihak terutamanya ibu bapa, dalam usaha membanteras kegiatan rempit yang semakin berleluasa itu.

“Ops bersepadu sememangnya bertujuan membanteras kegiatan rempit di negeri ini, namun mereka ini seolah-olah tidak serik,” katanya.

Katanya, aktiviti itu menjadi trend dalam kalangan remaja Terengganu kini yang menggunakan peluang hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu untuk ‘merempit’, sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi panas yang menjadi tumpuan samseng jalanan terbabit dan akan menggiatkan operasi menggempur mereka pada hari minggu. “JPJ Terengganu tidak akan bertolak ansur kepada mereka yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang jalan raya,” katanya

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment