Tuesday, October 16, 2012

Penglibatan Masyarakat Penting Dalam Promosi Sukan Ekopelancongan Di Terengganu

Gambar Hiasan...Cabaran Pulau Perhentian Sebelum Ini.
Penglibatan masyarakat kampung perlu dalam menjayakan sukan ekopelancongan apabila acara sukan lasak 'Cabaran Pulau Perhentian' di Besut, Terengganu, diwartakan sebagai acara sukan bertaraf antarabangsa sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata tanpa penglibatan masyarakat dalam mempromosi budaya hidup, ianya tidak akan berjaya kepada sesuatu produk pelancongan yang hendak diperkenalkan.

"Jika masyarakat setempat tidak melibatkan diri dalam mempromosi budaya hidup, ia seolah-olah tiada nilai tambah kepada produk pelancongan seperti sukan air atau darat yang bakal disertai oleh peserta luar negara," katanya kepada pemberita selepas meyampaikan hadiah kejohanan Cabaran Pulau Perhentian 2012, di Pulau Perhentian semalam.



Kejohanan yang bermula sejak 2004 dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan diuruskan oleh PIC Adventures Sdn Bhd itu tersenarai dalam kalendar tahunan aktiviti pelancongan negeri.

Kejohanan itu mempertandingkan beberapa kategori antaranya kategori elit lelaki dan wanita antarabangsa, elit lelaki dan wanita Malaysia dan novis lelaki dan wanita Malaysia serta kategori Kampung.

Disiplin kategori elit ialah larian, berenang, pendakian, 'coast orienteering' dan 'obstacle course' manakala disiplin kategori novis ialah larian, berenang, 'obstacle course' dan 'beach fun run'.

Seramai 357 peserta berumur 14 hingga 63 tahun melibatkan peserta antaranya dari Kenya, Amerika Syarikat, Singapura, India, Perancis, United Kingdom, New Zealand, Turki, Jerman dan Malaysia.

Kejohanan dengan hadiah RM65,00 itu menyaksikan peserta beradu kekuatan fizikal dan mental pada laluan trek yang mencabar sejauh 21.6 km bagi kategori Elit dan Novis manakala bagi kategori elit peserta terpaksa berenang sejauh 800 meter bermula dari Teluk Keke ke perkampungan nelayan di Pulau Perhentian Kecil.

Enam peserta telah diumumkan sebagai pemenang kategori masing-masing iaitu Elit Lelaki Antarabangsa Joseph Gitau Kariuki (Kenya) dengan masa 3 jam 47 minit 28 saat, Elit Lelaki Lili Suhairi Md Yang Ghazali (Malaysia) dengan masa 4:05.23s, Elit Wanita Cheah Meei Meei (Malaysia) dengan masa 5:30.36s. Novis Lelaki Antarabangsa Isaac Kimani (Kenya) dengan catatan masa 2:36.10s, Novis Lelaki R. Jayakumar (Malaysia) dengan masa 3:35.06s dan kategori Kampung Mohd Rashid Rahim (Malaysia) dengan masa 3:47:51s.

No comments:

Post a Comment