Sunday, October 14, 2012

Program Cakna Pantai 2012 Pungut 1.5 Tan Sampah Pantai Bukit Tampin


Kira-kira 1.5 tan metrik sampah berjaya dikumpulkan pada program Cakna Pantai yang dianjurkan anak syarikat Petronas Chemicals Group iaitu Petronas Chemicals Ethylene Sdn Bhd dan Petronas Chemicals Polyethylene Sdn Bhd di Pantai Bukit Tampin, Ahad lalu sekaligus memelihara kawasan pantai dari tercemar.

Menariknya, kesemua sampah berkenaan dikumpulkan oleh 21 pasukan terdiri daripada kakitangan Petronas, agensi kerajaan, pelajar dan komuniti setempat yang mengambil bahagian bagi pertandingan membersih pantai.

Juara pertandingan berkenaan dimenangi Pasukan Pendekar Laut yang berjaya mengutip sampah seberat 154 kilogram, diikuti pemenang tempat kedua Pasukan Gagak Hitam dengan kutipan seberat 148.5 kilogram dan ketiga Pasukan Wonder Pet (kumpul 132 kilogram sampah).

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, program pembersihan pantai itu adalah kali ketiga diadakan sejak 2010 di mana pertama kali diadakan di Pantai Warisan Kerteh dan di Pantai Kuala Kerteh, tahun lalu.

“Untuk tahun ini, kami mendapat kerjasama utama dari Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut membuka gerai pameran di kawasan Pantai Bukit Tampin ini. Ia turut disertai lapan buah sekolah iaitu empat sekolah rendah dan empat sekolah menengah.

 “Program sebegini adalah satu cara untuk pihak kami mendekatkan diri dengan komuniti di samping menjaga alam sekitar khususnya di kawasan kami beroperasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman turut menanam pokok kelapa pandan di kawasan pantai bagi memelihara ekosistem di pantai tersebut seterusnya mewujudkan tempat teduhan.

Sempena program yang disertai kira-kira 600 peserta itu, pelbagai acara turut diadakan termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan inovasi bagi remaja dan pertandingan mengumpul bahan-bahan terbuang bagi orang dewasa.

Juara pertandingan inovasi sekolah menengah dimenangi kumpulan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah 2 dan juara sekolah rendah dimenangi kumpulan Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh 2.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Ethylene Sdn Bhd dan Petronas Chemicals Polyethylene Sdn Bhd, Rosfinah A Kadir berkata, program itu juga dijalankan bagi memupuk kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment