Wednesday, October 31, 2012
PTPTN Sedia Dana Bantu Pelajar Lanjutkan Pelajaran
Golongan pelajar miskin dan kurang bernasib baik bakal menerima bantuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi menerusi dana Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia (BPM1M) yang diuruskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
BPM1M merupakan inisiatif penjanaan dana menerusi sumbangan organisasi, syarikat dan individu bagi memenuhi sebahagian daripada keperluan pelajar miskin yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, soal penubuhan tabung dana bukan sesuatu yang baharu dalam sektor pengajian tinggi kerana terdapat banyak alumni serta syarikat yang menderma kepada IPT masing masing.
"Kita mahu perkara ini diperluaskan kepada institusi seperti PTPTN yang diwujudkan khusus untuk membiayai pendidikan pelajar.
"Kerajaan memberi sokongan menerusi potongan cukai sebanyak dua kali mulai tahun taksiran cukai 2012 kepada mana-mana organisasi atau individu yang menderma kepada tabung ini.
"Menerusi tabung ini, pelajar miskin dan kurang bernasib baik tidak perlu membuat pinjaman yang banyak daripada PTPTN kerana sebahagian daripada pembiayaan pengajian mereka akan ditanggung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pembayaran Balik Pembiayaan Kepada Penerima Kelas Pertama Peminjam PTPTN dan Penyampaian Hadiah Simpanan Bonanza! SSPN-i di Kuala Lumpur semalam.
No comments:
Post a Comment