Thursday, October 18, 2012

RISDA Perkasa Pekebun Kecil Wanita - Wan Zuki

 RISDA akan terus memperkasakan golongan pekebun kecil wanita yang kini mewakili separuh daripada 1.2 juta pekebun kecil getah di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, usaha itu digerakkan melalui penubuhan 827 Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) dengan lebih 14,000 ahli.

Katanya, penubuhan PWPK adalah sebagai menghargai peranan pekebun kecil wanita dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dengan sasaran pendapatan keluarga meningkat kepada RM4,000 sebulan menjelang 2020.

"Golongan wanita memainkan peranan sangat penting dalam menentukan pembangunan negara, namun apabila menyebut tentang pekebun kecil lazimnya masyarakat sering mengaitkan golongan itu tidak mempunyai ilmu yang luas selain bidang kerjanya sahaja.

"Oleh yang demikian, RISDA mengambil langkah untuk memperkasakan pekebun kecil wanita dengan menyediakan latihan dan bimbingan dalam hal-hal berkaitan dengan pengurusan rumahtangga, keusahawanan, pengurusan produk serta kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kasihi Wanita Pekebun Kecil dan Program Motivasi Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) Negeri Terengganu 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu, Isnin (15 Oktober 2012).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan RISDA, Adnan Ahmad. 
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah RISDA Negeri Terengganu, Abu Bakar Abdullah.

Wan Mohamad Zuki berkata, selain PWPK, RISDA turut melancarkan Pelan Strategik Usahawan RISDA (Pestura) pada Jun lalu bagi melahirkan, meningkatkan dan memantapkan usahawan yang terdiri daripada pekebun kecil tempatan.

"Di bawah pelan itu, pekebun kecil khususnya wanita akan dilatih dengan kemahiran baru termasuk teknik meningkatkan kualiti produk, pembungkusan, pengurusan kewangan dan pemasaran bagi memastikan produk yang dihasilkan bermutu selain dapat membantu meningkatkan hasil jualan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, RISDA memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk KGMR di setiap negeri bagi membolehkan aktiviti melibatkan generasi muda pekebun kecil dianjurkan.

"Melalui KGMR, RISDA akan mempertingkatkan kesedaran tentang peluang dan potensi kerjaya dalam bidang pertanian selain mewujudkan pangkalan data generasi muda pekebun kecil yang kini mempunyai ahli seramai 6,668 orang di seluruh negara," jelasnya.

No comments:

Post a Comment