Sunday, October 21, 2012

Risda Serah 15,180Kg Biji Getah Yang Dikutip


Zakaria (dua kanan) melihat biji getah dikutip dari seluruh daerah yang diserahkan kepada Tapak Semaian Batu 17, kelmarin.
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Terengganu menyerahkan 15,180 kilogram (kg) biji getah berjaya dikutip dari seluruh daerah pada tahun ini kepada Tapak Semaian Batu 17,  Hulu Terengganu kelmarin bagi pengeluaran benih getah yang bermutu tinggi.

Pengarah Risda Terengganu, Zakari Mat Zin berkata, penyerahan yang diwakili pegawai Risda daerah masing-masing itu menyaksikan Hulu Terengganu serta Dungun mengungguli jumlah kutipan biji getah tertinggi iaitu sebanyak 3,041 kilogram.

"Seterusnya diikuti Besut dengan 2,542 kilogram biji getah. Manakala bagi daerah-daerah lain seperti Setiu (2,461kg), Marang (2,422kg) Marang serta Kemaman sebanyak 2,322 kg yang melibatkan RM32,550 jumlah pembelian oleh Risda Semaian Batu 17 ini.

"Bermula 2010, pihak Risda telah meminta pegawai Risda di setiap daerah mengutip dan mengumpul biji getah untuk diserahkan kepada pihak semaian yang mana Terengganu mempunyai tiga tapak yang terletak di Besut, Dungun serta di Batu 17 ini," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan Biji Getah kepada Semaian Risda Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2012 di Risda Semaian Batu 17, di sini, kelmarin yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Mohamat Muda.

Menurutnya, Terengganu tidak mempunyai masalah berhubung keperluan benih memandangkan tiga tapak semaian sedia ada boleh mengeluarkan lebih benih daripada yang diperlukan di negeri ini.

"Ops Kutip Biji Getah yang diperkenalkan adalah untuk memastikan penyediaan benih pokok getah berkualiti untuk keperluan tanaman semula. Risda tidak hadkan pembelian biji getah daripada pekebun kecil sahaja tetapi juga kepada orang ramai ingin menjualnya boleh berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Mohamat berkata, Risda memerlukan biji getah yang banyak kerana Sabah serta Sarawak masih belum mempunyai tapak semaian bagi pengeluaran benih dan Pemaju Masyarakat Risda (PMR) diharapkan dapat terus menguar-uarkan kepada pekebun kecil.

"Ia perlu supaya kita dapat mengumpulkan biji getah di kampung-kampung dan seterusnya dijual kepada Risda Semaian Sendirian Berhad (RSSB) dengan harga RM3 sekilogram.

"Pengeluaran benih getah yang bermutu penting kerana pengeluaran dapat ditingkatkan. Keluasan getah di negara ini tidak bertambah sebaliknya semakin berkurang. Oleh itu, untuk memenuhi keperluan negara, pengeluaran getah harus ditingkatkan dengan gunakan benih bermutu tinggi,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment