Monday, November 12, 2012
96 Web Jual Produk Perangsang Seks Gulung Tikar
Kira-kira 96 laman web tempatan menjual pelbagai produk perangsang seks dan pelangsing tubuh haram `gulung tikar’ apabila Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (BPF KKM) dibantu polis antarabangsa (Interpol) menyekat semua laman web itu baru-baru ini.
Semua laman web itu dikesan melakukan penipuan apabila menjual produk tidak mendapat kelulusan KKM dan didapati mengandungi racun berjadual kepada pengguna internet di negara ini.
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (BPF KKM), Mazlan Ismail, berkata, semua laman web itu berjaya dijejaki hasil operasi bersama 100 negara lain dalam memerangi penjualan ubat-ubatan haram melalui internet sejak 25 September lalu.
Beliau berkata, pihaknya dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat dan menutup laman web menjual produk haram itu.
“Antara produk haram yang cuba dijual adalah Vimax, Vig-Rx, Super Magic Power dan pelbagai produk lain yang dipercayai diseludup dari luar negara,” katanya.
Menurutnya, hasil maklumat diperoleh itu, pihak BPF turut melakukan siasatan terhadap 1, 260 bungkusan pos dan kurier yang disyaki dihantar pihak sindiket kepada pelanggan yang membuat pembelian melalui internet.
“Operasi bersepadu dipanggil Pangea V itu diselaraskan oleh Interpol bertujuan menyekat aktiviti penjualan ubat-ubatan haram, palsu atau tidak sah di seluruh dunia.
“Aktiviti sindiket itu dianggap berbahaya berikutan pihak sindiket mampu menghantar ubatan-ubatan terlarang atau beracun ini hampir di seluruh pelusuk dunia,” katanya.
Menurutnya, operasi turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dan organisasi yang ada kaitan dalam perdagangan berasaskan internet.
“Satu pusat kawalan operasi diwujudkan di Ibu pejabat sekretariat Interpol di Lyon, Perancis. Sepanjang tempoh operasi bermula 25 September lalu, beberapa serbuan dilakukan di alamat premis yang dikaitkan dengan penjualan ubat melalui internet.
“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap bungkusan yang dipe
cayai mengandungi ubat palsu dan tidak sah di pintu masuk negara. Di Malaysia, operasi ini membabitkan kerjasama BPF KKM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan SKMM.
“Pemeriksaan bersama dilakukan pegawai Penguatkuasa Farmasi, KDRM dan KPDNKK di pintu masuk utama serta pusat mel dan kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Subang, Selangor,” katanya.
Mazlan berkata, pihaknya turut merampas ubat anti kanser, antibiotik, ubat kurus dan produk makanan kesihatan.
No comments:
Post a Comment