Monday, November 12, 2012

Nurul Izzah Undang Kemarahan, 4 NGO Minta Polis Siasat


Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa orang Melayu Islam boleh memilih agama di bawah faktor kebebasan agama boleh menimbulkan suasana yang bukan sahaja sensitif tetapi boleh mencetuskan kemarahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu bersifat mempolitikkan akidah dan menjadikan agama sebagai gadaian.

 "Sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk keselamatan, itu tidak akan kita benarkan. "Jika dicampuradukkan politik dan pendekatan cakap tidak serupa bikin dengan agama dan isu kaum, ia memberi kesan yang boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya di Sandakan.

Naib Presiden PKR itu turut disaran bertaubat dan menarik balik kenyataannya berhubung kebebasan beragama bagi orang Melayu di negara ini.


Saranan dibuat bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai kenyataan besar dan memberi implikasi serius jika digunapakai oleh orang Melayu. "Dalam hal ini saya saya menyarankan supaya Nurul Izzah menarik balik kenyataan itu.

Dalam Islam apabila kita melakukan kesalahan, dan apabila kita sedar kita tersilap, kita boleh membetulkannya, bertaubat di atas kesalahan kita dan Allah SWT pasti menerima pengampunan kita kerana Allah SWT itu Maha pengampun Lagi Mengasihani," katanya dalam satu wawancara yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia, pada Ahad.

Katanya, isu ini dianggap serius kerana melibatkan perkara asas Islam dan Nurul Izzah harus bertanggungjawab

 Sambil menyifatkan kenyataan Nurul Izzah sebagai bercanggah dalam Islam dan Perlembagaan, beliau berkata ia juga boleh menimbulkan kekeliruan besar dalam masyarakat. "Pertama, ia bercanggah dengan prinsip asas 'Akidah dan Syariah Islam'.

"Kedua, ia tafsiran peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. Nasharudin berkata dalam kes ini Nurul Izzah telah mentafsirkan ayat tidak kena pada tempatnya dan telah membuat tafsiran yang salah.

Tambahnya, Nurul Izzah mentafsirkan ayat ke- 256 surah al-Baqarah yang bermaksud 'Tiada paksaan dalam agama' untuk ke arah sebagaimana yang telah beliau ucapkan. Menurut Nasharudin,

yat 'Tiada Paksaan dalam agama' itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang disepakati seluruh Ahli Tafsir Islam tanpa khilaf. "Tafsiran bermaksud selagi mana seseorang itu bukan Islam, kita sebagai Muslim tidak ada hak sedikit pun untuk memaksa dia memeluk Islam.

 "Namun, apabila orang Islam itu sudah menjadi seorang Muslim maka ayat ke-36 surah al-Ahzah terpakai ke atasnya sebagai Muslim," katanya.

Ayat ke-36 surah tersebut bermaksud "Tidak boleh bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya tentang satu urusan mereka tidak ada hak untuk memilih..."

Mengulas mengenai cubaan menjawab balik Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan dengan menyalahkan pihak tertentu, kononnya kenyataan disalahpetik dan disalahtafsir, Nasharudin mengaitkannya dengan kaedah penting yang oleh pakar-pakar dan sarjana Islam iaitu meletakkan hukum dengan perkara yang zahir.

 "Dalam konteks kenyataan Nurul Izzah secara zahirnya dan berdasarkan pengamatan yang kita semua dapat lihat dan dengar, beliau menyebut dengan jelas dan bermaksud untuk memberikan kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan manusia untuk membuat pilihan," katanya.

Dalam pada itu Nasharudin turut menunggu 'keberanian' kepimpinan tertinggi Pas memberikan kenyataan dan pandangan terhadap kenyataan Nurul Izzah.

 "Saya amat yakin Pas berani untuk menyatakan pendiriannya sebab aliran pluralisme agama, aliran liberalisme merupakan dua aliran yang ditentang hebat oleh Pas.

"Dalam konteks ini saya pasti mungkin dalam tempoh terdekat ini ada pimpinan terkanan Pas akan membuat kenyataan dan saya juga dapat merasakan ini akan menjadi topik yang akan diketengahkan oleh para perwakilan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-58 minggu depan," katanya.

Sementara  itu empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berikutan kenyataan kontroversinya mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.

Laporan dibuat di Balai Polis Meru di sini oleh Gerakan Masyarakat Prihatin Meru, Persatuan Penduduk Taman Datuk Bandar Meru, Persatuan Penduduk Kariah Kampung Haji Mohamad Sharif Meru dan Persatuan Kariah Surau Haji Kamarudin Meru pada pukul 1 tengah hari Ahad.

Mereka meminta polis menyiasat kenyataan Nurul Izzah itu yang didakwa berbaur hasutan. Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin, Jaya Kusuma Rosman berkata Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai perlu bertanggungjawab sekiranya ada orang Melayu yang murtad ekoran kenyataannya itu.

Beliau berkata Nurul Izzah juga perlu meminta maaf kepada orang Melayu danberjanji tidak akan mengulangi kenyataannya itu lagi.

Laporan portal berita pro pembangkang pada 3 Nov memetik Nurul Izzah sebagaiberkata: Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana;Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya pada 3 Nov.

No comments:

Post a Comment