Bekalan keperluan harian bernilai RM1.17 juta bagi mangsa banjir di negeri ini dan Pahang kini sudah ditempatkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zon Timur sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku bencana itu.
Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar berkata, depoh di Pulau Kerengga itu menyimpan pelbagai keperluan selimut, tikar, batik, tuala serta kelengkapan kesihatan sebelum diagihkan ke pusat-pusat pemindahan.
Depoh ini bukan sahaja akan bertindak sebagai pusat tumpuan ketika memberi bantuan di negeri ini sahaja malah meliputi negeri Pahang sekiranya berlaku banjir besar.
Pada masa kini, bekalan yang ditempatkan di depoh ini dijamin mencukupi untuk membantu mangsa banjir daripada kedua-dua negeri itu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke depoh tersebut di Marang, kelmarin.
Turut bersama meninjau ke depoh tersebut Penolong Pengarah JKM Negeri Terengganu, Syed Afandi Syed Harun.
Zuhami menambah, JKM telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi banjir pada tahun ini kerana ramalan hujan lebat dan kemungkinan bencana itu melanda pada musim tengkujuh kali ini dilaporkan berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Jelasnya, sebanyak 353 pusat pemindahan banjir disediakan yang mampu menampung lebih 49,000 mangsa.
Ujarnya, bagi melancarkan proses pemindahan dan bantuan, lebih 300 kakitangan JKM turut dibekukan cuti bermula 15 November lalu.
Selain daripada itu, beliau berkata, bekalan bantuan juga telah dihantar ke 110 pangkalan hadapan pada bulan Oktober lalu sebagai persiapan awal menghadapi bencana ini.
Kita telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berisiko banjir dan telah menghantar bekalan ke semua pangkalan hadapan untuk memastikan mangsa banjir mendapat bantuan selayaknya.
Bantuan tersebut turut merangkumi penduduk yang berada di pulau-pulau di negeri ini agar mereka memperoleh bekalan mencukupi mengikut keperluan semasa kerana tidak dapat keluar ke darat ketika ombak besar," ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment