Thursday, November 29, 2012

Burukkan Negara Sendiri - Kelab UMNO Selar Pembangkang, Pemuda UMNO Kecam


Kelab UMNO Luar Negara semalam mendedahkan kegiatan pembangkang yang sering mengeluarkan maklumat salah terhadap UMNO dan dasar-dasar kerajaan persekutuan dalam laman web sosial dan laman blog.

Perwakilan Kelab UMNO luar negara yang berpusat di Pennsylvania, Amerika Syarikat, Muhammad Haziq Syamin Abd Halim berkata, beliau sering melayari laman web sosial dan media dalam talian untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai Malaysia.

"Melalui pemerhatian saya, terdapat banyak media online (dalam talian) dan laman web sosial yang dipercayai milik pembangkang sering melaporkan bahawa Umno parti yang tidak menegakkan Islam sebenar dan Islam di Malaysia dalam persengketaan," katanya  di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam.

Haziq Syamin berkata, beliau mendapat tahu hal sebenar yang berlaku di Malaysia setelah pulang ke tanah air untuk menyertai Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

"Sikap pembangkang yang mengeluarkan penipuan semata-mata untuk mempengaruhi anak muda (penuntut) di luar negara mencerminkan bahawa parti pembangkang ini sememangnya tidak boleh dipercayai," katanya.

Beliau berkata, terdapat tujuh cawangan Kelab UMNO Luar Negara di sekitar Amerika Syarikat, dengan yang terbesar berpusat di bandar New York dan Chicago.

"Peranan kami adalah untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar dan juga penduduk tetap warga Malaysia di situ selain menyebarkan maklumat tentang dasar-dasar kerajaan Malaysia," katanya.

Sementara itu, perwakilan UMNO luar negara yang berpusat di Lancaster, Dir Kheidhrein Kamaruddin berkata, seorang pemimpin pembangkang pernah ke kawasan di sekitar United Kingdom tahun lepas untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

"Pemimpin pembangkang itu turut menyatakan bahawa partinya akan menjadikan Malaysia negara kebajikan untuk cuba mempengaruhi anak-anak muda.

"Mereka menyebarkan ideologi songsang kerana pada pendapat mereka kumpulan pelajar ini mampu mempengaruhi landskap pemerintahan negara pada masa depan, namun kami yang peka dengan perkembangan politik semasa di tanah air tidak termakan umpan mereka," katanya.

Sementara itu,  ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, seorang perwakilan Pemuda UMNO mengecam perbuatan pembangkang yang suka memburuk-burukkan negara sendiri pada kaca mata dunia semata-mata mahu berkuasa.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, perbuatan meminta campur tangan asing dalam pentadbiran negara boleh menggugat keharmonian dan kemakmuran negara.

"Tak cukup jelajah dalam negara, mereka menjelajah pula ke luar negara sebagai pengkhianat yang memburukkan negara sendiri. Janganlah kita jadi pemimpin sebegini, menang sorak hari ini, esok lusa negara tergadai," katanya

Beliau yang juga Ketua Pemuda Bahagian Parit Sulong berkata, sikap pembangkang yang sanggup memperlekeh amalan agama Islam dengan isu doa dan fatwa turut mengelirukan umat Islam.

Zulkarnain berkata, semua pihak sepatutnya berpegang kepada konsep saling mengingatkan kepada kebaikan dan menerima sebarang perbezaan dalam usaha memperjuangkan Islam.

Wakil Selangor Latt Shahrizan Abdullah berkata, golongan muda di negeri itu bersedia untuk menolak pakatan pembangkang yang diketuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya akan datang setelah sedar kerajaan negeri Selangor tidak langsung mempedulikan mereka.

Ketua bahagian UMNO Petaling Jaya Utara itu berkata, rata-rata golongan muda di Selangor yang hampir sejuta orang dan mewakili separuh daripada pengundi, tidak boleh lagi dianggap sebagai 'milik PKR' seperti mana yang diuar-uarkan pembangkang.

Beliau berkata, hakikatnya, pengundi muda di Selangor, malah di seluruh negara mula sedar bahawa PKR, PAS dan DAP lebih banyak bertelagah mengenai soal siapa yang lebih layak menjadi perdana menteri.

No comments:

Post a Comment