Thursday, November 29, 2012

UMNO Mahu Fahaman Sekular Liberalisme-Pluralisme DiTentang Habis-Habisan


Melihat bahayanya isu fahaman songsang liberalisme dan pluralisme agama yang semakin menular di negara ini, pemimpin dan perwakilan ketiga-tiga sayap parti Umno mahukan ia diberhentikan segera.

Kebimbangan penularan fahaman itu diluahkan oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian persidangan serentak ketiga-tiga sayap parti itu malam kelmarin dan disambut para perwakilan pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri semalam sebagai satu ideologi yang harus ditentang habis-habisan kerana ia boleh merosakkan akidah dan menghuru-harakan negara.


Fahaman itu dipopularkan di negara ini oleh pemimpin pembangkang kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral.

Apakah fahaman pluralisme dan liberalisme itu?

Menurut pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Anis Malek Thoha, dalam satu ceramahnya baru-baru ini, fahaman pluralisme adalah satu aliran untuk menyamatarafkan agama-agama atas alasan mengelak konflik antara agama.

Namun dalam Islam, fahaman ini merosakkan akidah kerana ia membelakangkan hukum akidah. Islam menggalakkan toleransi antara penganut agama tetapi soal akidah tidak boleh dikompromi.

Begitu juga dengan fahaman liberalisme agama yang menganjurkan agar umat diberi kebebasan untuk menyesuaikan agama Islam dengan zaman atas nama pembaharuan dengan mentafsir semula ajaran-ajaran Islam tanpa batasan yang ditetapkan oleh syariah Islam.

Perwakilan Wanita Umno Perlis Marzita Mansor mencadangkan agar kepimpinan parti menghimpunkan guru pondok dan ulama seluruh negara bagi tujuan memperjelaskan kepada masyarakat berkaitan isu liberalisme dan pluralisme serta politik bertopengkan Islam kerana ia boleh menggugat perpaduan ummah.

Beliau berkata fahaman yang hanya bertunjangkan kepentingan politik dan bertopengkan agama semata-mata itu menjadi satu kebimbangan sekiranya ia dibiarkan berleluasa tanpa adanya penerangan dan langkah pencegahan diambil pihak berkuasa.

"Kita harus memperjelaskan kepada rakyat bahawa jika fahaman yang sedang dipopularkan oleh pembangkang ini dibiarkan menular dalam masyarakat, umat Islam menjadi rosak dan hilang pedoman hidup, " katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pulau Pinang Shaikh Hussain Mydin berkata Pemuda memandang serius terhadap kegiatan pembangkang untuk memancing undi anak muda dengan mengajak mereka untuk menyokong fahaman pluralisme dan liberaslime.

Katanya anak-anak muda telah digula-gula dengan kononnya berjuang untuk bebas daripada fahaman ortodok dan fikiran mereka diracuni fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam.

Naib Ketua Puteri Shahanim Yusof berkata fahaman pluralisme dan liberalisme itu adalah satu ajaran yang menyesatkan umat Islam dan anak-anak muda yang terpengaruh akan percaya bahawa orang Melayu harus dibenarkan murtad dan mengamalkan sebarang agama yang mereka kehendaki.

Katanya disebabkan itu terdapat pemimpin pembangkang yang memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan menganggap golongan itu sebagai kelompok minoriti yang tertindas.

"Undang-undang negara yang tidak menghalalkan perkahwinan kaum sejenis dianggap sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka", katanya.

Beliau berkata Puteri Umno akan memperjelaskan bahana fahaman itu kepada rakyat demi mempertahankan akidah Islam.

No comments:

Post a Comment