Friday, November 30, 2012

Enam Pengguna Jalan Raya Positif Dadah - JPJ


Hashim memeriksa lesen memandu pemandu lori pada Operasi Merentasi Sempadan JPJ Terengganu dan Pahang bersama agensi lain yang diadakan di SPK JPJ Kijal kelmarin.
Seramai enam pengguna jalan raya positif dadah ditahan sementara 11 karton rokok seludup dirampas manakala sebuah lori disita dalam Operasi Merentasi Sempadan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dan Pahang bersama beberapa agensi lain, yang dilakukan di Stesen Penguatkuasaan (SPK) JPJ Kijal kelmarin.

Malah, 125 kesalahan lalu lintas dan kesalahan teknikal dikesan JPJ dalam operasi bersepadu yang turut melibatkan Bahagian Trafik Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kastam Diraja Malaysia dan Unit Parol Jabatan Penjara berkenaan.

Pelbagai kesalahan terbabit dikesan hasil pemeriksaan ke atas 1,643 buah kenderaan sepanjang operasi bermula jam 2 hingga 7 petang.

Daripada enam yang ditahan, dua daripadanya merupakan pemandu kereta dan dua penumpang serta masing-masing seorang penunggang dan seorang pembonceng motosikal lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun selepas didapati positif pil kuda hasil ujian air kencing yang dilakukan AADK ke atas 85 pengguna jalan raya.

Pegawai Kastam Tinggi Kemaman, Misdar Kaslan berkata, pihaknya pula merampas 11 karton rokok dalam plastik hitam yang disimpan di bawah tempat duduk penumpang belakang, dipercayai diseludup selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah van.

Menurutnya, susulan itu, pemandu van yang merupakan peniaga pasar malam ditahan untuk siasatan lanjut manakala van disita.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (e) Akta Kastam 1967 kerana membawa atau mengangkut barang belum lulus kastam yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang hingga 20 kali ganda nilai barang. 89 kes kesalahan lalu lintas

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Penguatkuasaan JPJ Terengganu, Hashim Borham yang mengetuai operasi berkenaan berkata, daripada 125 kesalahan yang dikesan, 89 kes membabitkan kesalahan lalu lintas iaitu cukai jalan tamat tempoh, lesen tamat tempoh dan lebih muatan manakala 36 kes pula adalah kesalahan teknikal membabitkan kesalahan cermin gelap dan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak memenuhi spesifikasi.

“Pada operasi ini, kita turut menyita sebuah lori kerana pemandunya didapati tidak mempunyai lesen memandu. Keseluruhan kenderaan yang diperiksa JPJ dan Bahagian Trafik berjumlah 1,243 buah.

“Ia sebenarnya adalah kesalahan biasa yang sering berlaku, jadi pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa melihat cukai jalan dan bagi yang tiada lesen, ambillah lesen memandu,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya operasi. Hadir sama Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Johari Mat Nor, Ketua SPK JPJ Kijal,

Rabuan Ahmad dan Penolong Pegawai Parol Daerah Kemaman, Noor Faezah Alias yang turun padang mengedarkan sendiri risalah kepada pengguna jalan raya bagi mempromosikan Unit Parol. 24 bas ekspres turut diperiksa

Dalam perkembangan sama, Hashim memberitahu, sebanyak 24 bas ekspres turut diperiksa yang mana penumpuan diberikan untuk memeriksa pemandu kedua. Kebanyakan bas yang diperiksa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dengan jarak perjalanan 300 kilometer telah dicapai ketika melalui SPK JPJ Kijal.

“Daripada pemeriksaan, kesemua bas mematuhi peraturan ditetapkan dan kita juga menasihatkan bas ekspres lain agar mempunyai pemandu kedua kerana jika tidak, boleh dikenakan,” katanya.

Laksanakan sepenuhnya tahun depan Sementara itu, Hashim berkata, operasi berkenaan pertama kali diadakan di negeri ini dan akan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan bagi menunjukkan JPJ negeri bukan sahaja mempunyai kuasa di dalam negeri tempat bertugas sahaja.


“Kita mahu tunjukkan bahawa JPJ boleh menjalankan penguatkuasaan di mana-mana sahaja tanpa sempadan negeri. JPJ Terengganu mempunyai kuasa di seluruh negara begitu jugalah JPJ di negeri lain.

“Untuk tahun depan kita merancang untuk masuk di Kelantan, Pahang dan Perak iaitu negeri-negeri yang bersempadan dengan negeri ini,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pelaksanaan operasi itu menunjukkan kesan positif dalam kalangan pegawai dan anggota, JPJ

Terengganu juga mungkin akan turut menjalankan operasi di Kuala Lumpur terutama pada waktu malam.

Sebelum itu pada sebelah pagi, operasi sama turut diadakan di kawasan simpang ke Hotel Impiana di Chendor, Pahang, merekodkan 70 kesalahan dikesan iaitu 34 kes kesalahan lalu lintas dan 36 kesalahan teknikal dengan sebuah kenderaan dikenakan notis larangan penggunaan

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment