Friday, November 30, 2012

Terengganu Catat 695 Kes Demam Denggi Dalam Tempoh 11 Bulan Tahun Ini

Kes demam denggi di Terengganu meningkat dalam tempoh 11 bulan pertama ini dengan mencatatkan 695 kes berbanding 612 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Anwa Sulaiman berkata daripada jumlah itu, 649 kes adalah kes demam denggi biasa manakala 46 kes lagi adalah kes demam denggi berdarah.

"Kuala Terengganu mencatat kadar kes demam denggi tertinggi iaitu sebanyak 255 kes diikuti Besut (123), Dungun (103), Kemaman (87), Hulu Terengganu (56), Marang (49) dan Setiu (22).


"Bagaimanapun, kita bernasib baik kerana tiada lagi kes kematian dilaporkan setakat ini berbanding satu kes kematian pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Derma Kemanusiaan anjuran JKNT di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya ketika ini, kes demam denggi di Terengganu masih dalam keadaan terkawal apabila tiada kawasan wabak penyakit itu direkodkan berbanding 13 kawasan wabak yang dikesan pada awal tahun.

Dr Anwa berkata bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini, JKNT memeriksa 177,783 premis termasuk tempat kediaman, premis perniagaan dan pejabat di seluruh Terengganu dengan 1,068 premis dikompaun RM500 apabila terdapat tempat pembiakan nyamuk aedes di premis berkenaan.

 "JKNT mengutip RM62,700 bayaran kompuan dan proses bayaran kompaun itu masih berjalan sehingga sekarang," katanya.

No comments:

Post a Comment