Gara-gara menyamar sebagai pegawai risikan Kastam Diraja Malaysia seorang lelaki menerima padah setelah dibelasah sekumpulan penduduk Kampung Telaga Daeng, Sebarang Takir dekat Kuala Terengganu, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu suspek berusia 47 tahun bersama seorang rakan berusia 22 tahun pergi ke sebuah kedai runcit dan menggari seorang pembantu kedai berusia 22 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata kedua-dua suspek mengambil tindakan demikian dengan menunjukkan kad kuasa Kastam yang palsu selepas pembantu kedai tersebut enggan memberi mereka RM200 kerana didakwamenjual barangan seludup.
Bagaimanapun kejadian itu disedari pemilik kedai berusia 57 tahun yang kebetulan pergi ke kedai tersebut tidak lama kemudian.
Pemilik kedai tersebut menyuruh suspek melepaskan pembantu kedai yang juga anak saudaranya dan selepas itu berlaku pergelutan antara mereka
“Kekecohan itu disedari oleh penduduk kampung dan beberapa orang pendudukkampung turut masuk campur dan membelasah suspek tersebut. Rakannya yang berusia 22 tahun pula berjaya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu.
Kehadiran anggota polis pada awalnya bagaimanapun tidak berjaya menyuraikanketegangan kerana suspek dikatakan sudah banyak kali memeras ugut peniaga disekitar kawasan itu menyebabkan penduduk kampung berang.
Manoharan berkata anggota polis terpaksa meminta bantuan polis peronda yang terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebelum orang kampung mula beredar.
Katanya akibat kejadian suspek cedera dan lebam-lebam di bahagian muka,kepala dan anggota badan namun kecederaannya tidak serius.
Beliau berkata polis turut merampas gari, pistol tiruan serta kad putih berbalut plastik bercop Jabatan Kastam yang palsu milik suspek untuk siasatanlanjut.
“Rakan suspek pula berjaya diberkas kira-kira pukul 2 pagi di rumahnya di Kampung Teluk Ketapang,” katanya.
Menurutnya siasatan awal mendapati suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis bersabit kes tipu kad kredit di Kuantan, Pahang.
Manoharan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 170, 38 dan 147 Kanun Keseksaan kerana menyamar, pemerasan dan merusuh serta Seksyen 36(1) Akta Senjata Api.
No comments:
Post a Comment