Friday, November 2, 2012

Hospital Disaran Beri Keselesaan Kepada Keluarga Penderma Organ


Pihak berkuasa hospital di seluruh negara disaran supaya memberi perhatian atau layanan yang lebih baik kepada keluarga penderma organ semasa mereka tinggal di hospital bagi urusan menderma organ.

Seorang bapa kepada penderma organ Yusof Hassan, 56, dari Kuala Rompin, Pahang berkata, beliau pernah mengalami kerumitan semasa tinggal di sebuah hospital untuk proses menderma organ anaknya yang meninggal dunia dua tahun lalu.


Yusof merupakan bapa kepada Allahyarham Nur Mohamad Shahiduzz Aman, 15, yang meninggal dalam kemalangan jalan raya di Batu 10, Jalan Manjung-Lekir di Perak. Nur Mohamad merupakan penderma organ kepada tujuh orang dua tahun lepas.

"Bagilah sedikit keselesaan kepada keluarga penderma organ. Jangan biarkan keluarga penderma tinggal dalam keadaan yang tidak selesa semasa urusan menderma organ dijalankan.

"Kita bukan mahu diberi layanan yang istimewa, tetapi dalam usaha untuk menyedarkan orang ramai menderma organ, biarlah ia diberi keselesaan semasa di hospital," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata demikian pada program sambutan Minggu Kempen Kesedaran Penderma Organ peringkat negeri Terengganu yang disempurnakan oleh isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Norliza Mahmud semalam.

No comments:

Post a Comment