Friday, November 2, 2012

Terengganu Bakal Wujud Akademi Rabi Pertamanya

Terengganu bakal mempunyai akademi ragbi pertamanya setelah kerajaan negeri membenarkan Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, dekat sini dijadikan lokasi sementara akademi itu.

Bendahari Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Zulkarnain Abdul Wahab bagaimanapun berkata akademi tersebut akan dipindahkan ke lokasi baharu di Sekolah Sukan di Gong Badak yang sedang dalam pembinaan dengan kos RM25 juta.

"Kita masih menunggu kelulusan rasmi akademi ini daripada kerajaan negeri dalam sedikit masa lagi untuk melahirkan atlet negeri dalam sukan ini.

"Tempat akademi itu kemudiannya akan berubah selepas sekolah sukan kedua itu dijangka siap tiga tahun lagi," katanya semalam.

Zulkarnain berkata Terengganu telah mempunyai beberapa akademi sukan antaranya Akademi Sepak Takraw bertempat di Sekolah Sukan pertama di Bukit Nenas, Setiu, Akademi Hoki (SMK Padang Midin) dan Akademi Bola Sepak (SMK Sultan Sulaiman).

Beliau berkata bagi merealisasikan penubuhan akedemi ragbi itu, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) sedang berusaha mendapatkan khidmat jurulatih ragbi, daripada New Zealand.

"Usaha untuk mendapatkan jurulatih itu sedang dirunding oleh MSN dengan pihak berkenaan dan diharapkan matlamat itu akan berjaya dalam masa terdekat ini," katanya.

Mengenai perkembangan sukan ragbi di Terengganu, Zulkarnain berkata PRNT telah menurunkan pemain pelapisnya untuk menyertai Kejohanan Tujuh Sebelah Ragbi Terbuka Pahang selama dua hari di Kuantan, Pahang, bermula esok selain menyertai kejohanan Ragbi Kebangsaan di Putrajaya, bulan depan.

No comments:

Post a Comment