Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan orang ramai memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes denggi di seluruh negeri sepanjang tahun ini dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi secara efektif dan berterusan.
Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman, berkata langkah yang perlu dilaksanakan seperti meluangkan masa setiap hujung minggu untuk mengesan dan memusnahkan sebarang tempat atau bekas pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar rumah serta premis.
Pada masa yang sama, orang ramai juga harus peka dan melibatkan diri secara aktif dalam program gotong-royong yang dianjurkan oleh kawasan perumahan atau kampung yang didiami.
“Kita juga harus menyediakan aerosol pembunuh nyamuk untuk menyembur tempat-tempat nyamuk bersembunyi di rumah dan persekitaran premis ,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.
Dr Anwa berkata, masa berada di luar rumah juga perlu dihadkan di mana orang ramai perlu menghindari diri daripada terdedah kepada waktu nyamuk aktif mencari mangsa khususnya pada awal pagi dan senja.
elain itu, katanya jika mengalami demam, segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam kerana tindakan rawatan awal ini akan memudahkan pengesanan kes dan pelaksanaan aktiviti kawalan serta pencegahan denggi yang lebih berkesan.
Menurutnya, orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan aktiviti semburan kabus di rumah atau premis untuk langkah pencegahan.
No comments:
Post a Comment