Monday, November 19, 2012

Pengawasan Hutan Melalui Udara Dilaksana Tahun Depan

Program Pengawasan Hutan Melalui Udara akan dilaksanakan awal tahun depan bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan mengesan punca pencemaran atau pelanggaran undang-undang alam sekitar, terutama di kawasan yang sukar dimasuki melalui jalan darat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat Kabinet pada 12 Oktober lepas memutuskan supaya Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi pembiayaan program itu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Program pengawasan ini membabitkan penguatkuasaan secara bersepadu pelbagai agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar atau 1 NRE Enforcement,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ia akan memantapkan aspek penguatkuasaan sebelum, semasa dan selepas sesuatu projek atau aktiviti di kawasan hutan.

Douglas berkata, program pengawasan melalui udara diperlukan bagi melaksanakan penguatkuasaan syarat-syarat kelulusan bagi projek-projek yang memerlukan penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terutama di kawasan tanah tinggi.

"Bagi projek di kawasan hutan yang tidak tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan EIA, keperluan terhadap ”Erosion & Sediment Control Plan” (ESCP) serta kawalan hakisan dan kelodakan, ”Best Management Practices” (BMPs) dapat dikenal pasti dan boleh dinyatakan dalam syarat lesen pembalakan.

"(Ini) seterusnya dapat meminimumkan pencemaran sungai,” kata menteri itu.

Katanya, aktiviti pengawasan melalui udara itu juga akan meliputi pengesanan punca pencemaran alam sekitar lain seperti aktiviti pembakaran terbuka, pelepasan asap hitam daripada cerobong industri, pelepasan efluen ke perairan daratan, pencemaran pantai/pesisir laut dan kejadian tumpahan minyak.

No comments:

Post a Comment