Wednesday, November 14, 2012

PUM Gesa Henti Manipulasi Teks Agama Untuk Perspektif Sekular

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa semua pihak termasuk Sister In Islam berhenti daripada memanipulasi teks agama untuk disesuaikan dengan perspektif sekular, termasuk dalam isu kebebasan beragama.

Setiausaha Agungnya, Dr. Mohd Roslan Mohd Noor berkata, tindakan tersebut merupakan satu penistaan agama yang menjadi sebahagian daripada menifestasi religiofobia. “Perkara itu boleh di anggap satu jenayah di peringkat nasional dan antarabangsa.

“PUM menyokong Kerajaan Persekutuan atau kerajaan-kerajaan negeri yang mengambil tindakan dari sudut perundangan, pendidikan, media dan seumpamanya bagi memastikan hak beragama tidak dinafikan melalui nama indah lain seperti hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Sehubungan itu, PUM turut menyokong tindakan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan para pemimpin dunia lain yang mengutuk perbuatan biadap menista agama, termasuk sebarang penistaan dalam isu kebebasan beragama.

Katanya, di saat umat Islam semakin hilang keyakinan terhadap PBB, tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak konsep kebebasan beragama yang tidak menepati Syariah dan Perlembagaan Persekutuan semasa Sesi Biasa Ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia PBB baru-baru ini adalah disokong. Dr.

Mohd Roslan menambah, PUM bersama pelbagai badan ulama di peringkat antarabangsa sentiasa mengalukan pendirian tegas OIC bagi mewakili semua negara anggotanya di PBB.

“Pelbagai forum antarabangsa berhubung kebebasan agama termasuk mengiktiraf kebebasan beragama; seseorang tidak boleh dipaksa untuk menganuti sesuatu agama; namun, murtad tidak termasuk dalam kebebasan tersebut.

“Perkara ini telah diijmakkan oleh ulama, mujtahid, salaf dan khalaf dari semua mazhab Islam berdasarkan metodologi syarak yang diiktiraf turut menjadi asas penting dalam sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr. Mohd Roslan berkata, pihaknya juga berasa kecewa kerana dua dokumen resolusi masih terbiar tanpa penyelarasan oleh pihak kerajaan yang bakal dimuktamadkan pada 21 November nanti.

Resolusi tersebut ialah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR, 1948) yang membenarkan jenayah syarie seperti murtad di anggap tertolak di sisi Syariah dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Dalam Islam Kaherah.

No comments:

Post a Comment