Friday, November 30, 2012

Tiada Laporan Kes LGBT di Terengganu - JHEAT

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu mengesahkan amalan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang dikatakan semakin menular di bandar kecil tidak begitu menonjol di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Omar Musa berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang bentuk aduan atau laporan bertulis mengenai kes berkaitan LGBT di negeri ini.

“Sekiranya tiada sebarang bentuk laporan bertulis atau aduan diterima mengenai sesuatu kes, ia dianggap bersih dan tidak menjadi amalan yang menular secara berleluasa dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Pada hemat saya, negeri di sebelah Pantai Timur agak berbeza dengan negeri di sebelah Pantai Barat, di mana budaya LGBT di sini tidak begitu meluas dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan mengikut jadual dan sentiasa peka dengan aduan orang ramai mengenai sesuatu kes melibatkan salah laku yang melanggar hukum agama Islam.

“Kita sentiasa menjalankan operasi mengikut jadual yang dirangka. Ia dianggotai pasukan penguat kuasa agama yang bertugas untuk membanteras kes salah laku dalam kalangan masyarakat.

“Setakat ini, laporan mengenai LGBT tidak diterima dan kebanyakan laporan yang diterima membabitkan kes khalwat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes salah laku atau membabitkan LGBT diminta segera melaporkan kepada JHEAT bagi memudahkan tindakan.

“Sekiranya ada maklumat, laporkan dahulu dan kita akan buat siasatan dan tindakan susulan yang tertakluk di bawah bidang kuasa kami,” katanya.

Terdahulu, pakar motivasi dan kaunselor, Hushim Salleh berkata, amalan LGBT di negara ini semakin membimbangkan apabila ia kini dikesan telah menular ke bandar kecil. Beliau yang bercakap kepada pemberita selepas

Seminar Keibubapaan Menangani Isu LGBT, anjuran Pejabat Daerah Kuala Terengganu berkata, LGBT kini melibatkan semua kaum, malah turut membabitkan golongan terpelajar dan profesional.

“Kita amat bimbang dengan aktiviti LGBT sejak kebelakangan ini kerana kini ia sudah mula dikesan merebak di bandar kecil seperti Kuala Terengganu sendiri.

“Ini kerana anak-anak dan masyarakat cukup mudah untuk melihat serta berkomunikasi dengan golongan ini melalui internet, Facebook, Twitter dan media elektronik lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment