Pengusaha makanan di negeri ini dinasihatkan supaya mengubah mentaliti dalam memajukan perniagaan, termasuk keperluan memiliki sijil halal dalam perniagaan mereka.
Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Mohd. Roslan Abd. Rahman berkata, ketika ini, kebanyakan pengusaha tidak berminat untuk memiliki sijil halal dengan alasan hanya melakukan perniagaan kecil dan selaku orang Islam, produk mereka tidak harus diragui.
Katanya, ini secara tidak langsung akan merugikan mereka sedangkan pengusaha lain, terutamanya dari kalangan bukan bumiputera sanggup bersaing untuk mendapatkan sijil halal demi memantapkan perniagaan dengan berusaha memenuhi segala kriteria.
"Justeru, saya mahu pengusaha-pengusaha ini (kaum Melayu) sentiasa memandang ke depan jika ingin maju dalam perniagaan mereka.
"Mungkin hari ini mereka hanya berniaga di sekitar kawasan kampung dan negeri ini namun, siapa tahu suatu hari nanti produk mereka mampu menembusi pasaran luar negara," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Dapur Syariah - Pematuhan Penyediaan Makanan Mengikut Sunnah & Ke Arah Sijil Halal di Kolej Inforana, di Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Inforana Holdings Sdn. Bhd., Ahmad Ramzi Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Alex Lee.
Kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada pengusaha premis makanan termasuk kantin, kedai makan, warung, pemilik gerai serta pelajar jurusan kulinari mengambil bahagian pada seminar yang berlangsung selama sehari itu.
Antara yang menyampaikan ceramah pada seminar yang julung kalinya diadakan itu ialah wakil dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), wakil Jabatan Kesihatan negeri, wakil Fakulti Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta wakil dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Dalam pada itu, Lee yakin seminar itu sedikit sebanyak dapat membantu usaha kerajaan negeri untuk memastikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 berjalan dengan lancar.
"Sekiranya semua pengusaha makanan di sini tahu akan kepentingan sijil halal, ia secara tidak langsung akan menarik lebih ramai pelancong beragama Islam khususnya dari negara Asia Barat datang ke negeri ini pada tahun depan," katanya.
No comments:
Post a Comment