Monday, December 10, 2012

634 Anggota Bomba Sedia Hadapi Banjir

Seramai 634 pegawai dan anggota bomba dan penyelamat Terengganu kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Ridzuan Hassan berkata, semua anggota di 15 balai bomba dan penyelamat itu akan dikerahkan bila-bila masa sahaja.

Menurutnya, sebagai persediaan, pihaknya turut membekukan cuti anggota terlibat dalam usaha memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Selain pegawai dan anggota, kelengkapan untuk kerja menyelamat juga telah kita sediakan iaitu 36 bot dan tujuh lori pengangkut di seluruh negeri,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Ridzuan berkata, berdasarkan kes tahun lalu, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi yang berisiko tinggi berlakunya banjir dan perhatian khusus akan diberikan kepada kawasan tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menasihati orang ramai khususnya yang tinggal di lokasi berisiko agar segera berpindah sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing.

“Kita harap orang ramai patuhi nasihat pasukan keselamatan. Ia penting kerana kita tidak mahu berlakunya sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

No comments:

Post a Comment