Tuesday, December 25, 2012
Azizulhasni, Fatehah Kali Ketiga Dipilih Olahragawan Dan Olahragawati Terengganu
Dua pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa gah mencipta kejayaan kali ketiga berturut-turut apabila dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2011/2012, kelmarin.
‘The Pocket Rocket Man’ mengetepikan Mohd Harrif Salleh (Berbasikal), Mohammad Adiq Husainie Othman (Berbasikal), Amir Mustafa Rusli (Berbasikal) dan Mohd Hafiz Mahari (Pencak Silat) manakala Fatehah menewaskan atlet pencak silat, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Munirah Jusoh (Skuasy), Siti Rajiah Ali (Kanu) dan Noor Maizura Zainol (Judo).
Mereka membawa pulang hadiah sehelai kot, wang tunai RM7,500, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.
Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis dan menyampaikan anugerah kepada pemenang. Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk SeriAhmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.
Dua atlet memanah Olimpik, Khairul Anuar Mohamad dan Syafiqah Hashim, dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Harapan dan masing-masing menerima hadiah RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.
Persatuan Boling Padang Negeri Terengganu menerima Anugerah Pengurusan Persatuan Terbaik manakala jurulatih lumba basikal Terengganu, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan dinobatkan Anugerah Jurulatih Terbaik.
Anugerah Tokoh Sukan dianugerahkan kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) merangkap Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Mohd Shapian Ali yang mencipta beberapa kejayaan termasuk memenangi Piala Emas Khir Johari, Piala Presiden, Piala Belia Kebangsaan dan Piala Super Series.
Selain itu, pasukan sepak takraw Terengganu yang menjulang Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Ke-49 pula menerima Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik manakala Pasukan Hoki Wanita yang menjuarai Sukma ke-15 pula diumumkan sebagai Pasukan Terbaik Wanita.
Ahmad Said berkata, anugerah yang diberikan sejak dulu lagi itu sebagai satu pengiktirafan kerajaan bagi menghargai serta mengenang jasa atlet yang sanggup mengerah keringat sehingga mampu memahat nama negeri ke pentas dunia.
Malah, kejayaan dan suntikan insentif itu juga diharap dapat memberi rangsangan kepada semua atlet dan penggiat sukan dalam memartabatkan sukan di negeri ini.
''Kerajaan negeri tidak pernah melupakan jasa dan keringat atlet yang mengharumkan nama negeri dan negara. Kita amat berbangga dan mengambil berat di atas segala pengorbanan atlet dan jurulatih persatuan sukan negeri ini," katanya.
No comments:
Post a Comment