Tuesday, December 25, 2012

Pasang Pembetung Lebih besar Elak Banjir - MB

Kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk memasang pembetung lebih besar di kawasan sedia ada berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gelam dalam masa terdekat.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, yang sempat meninjau situasi banjir di kawasan itu, berkata beliau mendapati punca sebenar bencana tersebut ialah kerana sistem pembetung sedia ada terlalu kecil dan tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak pada musim tengkujuh.

"Kita akan pasang pembetung yang lebih besar supaya air cepat turun sekaligus dapat mengatasi masalah air melimpah ke rumah penduduk... kerja-kerja pemasangan pembetung ini mungkin mengambil masa satu atau dua bulan lagi, dan akan cuba disiapkan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan banjir di SK Tanjung Gelam semalam.




Beliau berkata pemasangan pembetung itu diharap mampu menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.

Sementara itu, seramai 25 keluarga melibatkan 91 mangsa banjir dari Taman Desa Darul Iman 6 dan Taman Desa Tanjung, yang berpindah sejak petang Sabtu, melahirkan kegembiraan kerana Ahmad prihatin dengan nasib mereka.

No comments:

Post a Comment