Monday, December 10, 2012
Besut Hilang Hampir 3,000 Hektar Tanah Sawah
Besut kehilangan hampir 3,000 hektar tanah sawah apabila pemilik tanah bertindak menjual tanah untuk tujuan pembangunan dan projek pertanian lain.
Pegawai Pertanian Daerah, Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, kawasan tanaman padi seluas 10,000 hektar di daerah ini kini hanya berbaki kira-kira 7,000 hektar sahaja akibat tindakan tanah sawah ditimbus kemudian digant dengan rumah kedai, kediaman atau tanaman kelapa sawit dan getah.
Menurutnya, perkara ini yang berlaku sejak tiga tahun lalu menyebabkan jelapang padi Besut hanya dapat menyumbang 37 peratus keperluan padi negeri berbanding 40 hingga 45 peratus sebelum itu.
“Kerajaan memandang serius perkembangan ini kerana sekiranya perkara ini berterusan ia boleh mengakibatkan krisis bekalan beras suatu hari ini. “Jabatan berharap pemilik tanah sawah berfikir sebelum mengambil keputusan menimbus kawasan padi mereka bagi mendapat keuntungan segera,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Pelancaran Tanaman Jagung Hibrid dalam polibag di bawah Program Tanaman Keliling Rumahdi Kubang Bemban yang disempurnakan Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.
Zulkepli Amin berkata, pihak berkuasa selepas ini akan mengambil tindakan terhadap pemilik sawah yang bertindak demikian tanpa kebenaran pihak berkaitan tersebut dahulu.
“Keadaan ini jika dibiarkan, daerah ini akan kehilangan kawasan tanaman padi yang ia memberi risiko buruk kepada rakyat sedangkan kita tidak boleh berharap kepada import beras luar negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment