Wednesday, December 12, 2012

Cuepacs Mahu Kerajaan Lanjut Kontrak 50,000 Kakitangan Awam


Cuepacs semalam menggesa agensi kerajaan agar melanjutkan kontrak 50,000 penjawat awam yang status perkhidmatan kontrak mereka bakal ditamatkan hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Cuepacs menerima aduan daripada penjawat awam berstatus kontrak dari pelbagai agensi serta jawatan mengenai penamatan perkhidmatan mereka.

"Kami akan memastikan kebajikan golongan ini terbela kerana rata-rata penjawat ini telah berkhidmat selama lebih 10 tahun.




"Yang paling penting, mereka juga ada keluarga untuk ditanggung maka kita harap kerajaan menyemak semula keputusan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Cuepacs di Wisma Cuepacs di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai pengurangan pengambilan penjawat awam sebanyak 10 peratus bermula tahun depan, Omar menyuarakan kebimbangan berikutan ramai lepasan institusi pengajian tinggi di negara ini mungkin tidak berpeluang mendapat pekerjaan.

"Jawatan yang kosong perlu diisi dengan tenaga kerja baharu menggantikan mereka yang telah pencen atau meninggal dunia," katanya. Beliau menegaskan bahawa tindakan ini mungkin mengakibatkan graduan menganggur kerana terpaksa bersaing untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang amat terhad di sektor awam.

Omar turut menyuarakan nasib kira-kira 3,000 guru tabika yang kemungkinan tidak akan diserapkan sebagai guru tabika tetap di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Katanya, daripada jumlah itu 1,600 adalah guru tabika manakala bakinya merupakan penolong guru tabika yang 70 peratus daripadanya mempunyai pengalaman selama 15 hingga 20 tahun dalam bidang itu.

"Cuepacs sebelum ini pernah menghantar memorandum kepada JPNIN namun tiada sebarang maklum balas yang kami terima," katanya sambil menegaskan JPNIN tidak sepatutnya mengutamakan guru tabika yang mempunyai diploma tanpa mengambil kira pengalaman yang dimiliki guru tabika sekarang.

Pada mesyuarat itu juga, Omar berkata isu pengkorporatan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) turut dibangkitkan dan Cuepacs meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan itu buat sementara.

"Kerajaan sepatutnya memberi taklimat secara menyeluruh kepada penjawat awam di agensi itu serta persatuan (Cuepacs) juga perlu terlibat dalam pelaksanaan pengkorporatan itu," katanya.

Justeru, Cuepacs mencadangkan agar penjawat awam di agensi itu diberi pilihan sama ada ingin bersara awal, dipindahkan ke jabatan lain atau menamatkan perkhidmatan mereka.

No comments:

Post a Comment