Wednesday, December 12, 2012

Kerajaan Utamakan Fardu Kifayah, Naikkan Imbuhan Jurumandi Jenazah


Biarpun tugas menguruskan jenazah dianggap kecil oleh segelintir pihak, namun tuntutan fardu kifayah itu tetap penting dan diberi penekanan oleh kerajaan negeri apabila bersetuju menaikkan imbuhan jurumandi jenazah dari RM60 kepada RM100 bagi setiap jenazah.

Pada masa yang sama, imbuhan kepada pembantu jurumandi jenazah turut ditambah dari RM30 kepada RM50 bermula tahun depan.

Muhammad Ramli Nuh Adun (BN-Tepoh) berkata keputusan kerajaan itu membuktikan kerajaan sentiasa peka dan mengutamakan kepentingan agama yang merangkumi tuntutan fardu kifayah termasuk dalam aspek pengurusan terakhir jenazah.

“Tindakan dan keputusan kerajaan ini bagi menghargai kumpulan pengurus jenazah yang ada hari ini, malah turut menggalakkan lagi golongan muda terlibat dengan perkhidmatan itu.

“Ketika ini, kita berdepan dengan masalah kekurangan jurumandi jenazah kerana ramai golongan muda khususnya, tidak menunjukkan minat, malah ada yang sudah berkursus cara-cara menguruskan jenazah tetapi ada `jenggi’ pula tidak boleh menguruskan orang yang sudah mati, sedangkan orang mati sudah `tidak boleh buat apa-apa’,” katanya ketika membahaskan Ucapan Bajet 2013 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, pada  Persidangan DUN, semalam.

Muhammad Ramli berkata, sebelum ini kadar imbuhan kepada jurumandi jenazah hanya RM30, sebelum dinaikkan kepada RM60 sejak tujuh tahun.

Malah, imbuhan kepada pembantu jurumandi jenazah juga tidak disediakan sebelum kerajaan negeri menetapkan kadar RM30 sejak beberapa tahun lalu.

Persidangan sedikit gamat dengan hilai tawa ahli persidangan dan juga pemerhati apabila Ramlan Ali BN-Jabi) yang mencelah dengan soalan tambahan sama ada kerajaan mahu menetapkan kadar berbeza antara jenazah bersaiz besar dan kecil.

Bagaimanapun, soalan tambahan Ramlan itu dijawab oleh Yang DiPertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dengan meminta menyerahkan soal penetapan kadar mengikut saiz jenazah itu untuk penilaian kerajaan.

Muhammad Ramli berkata, kenaikan imbuhan itu pastinya menyuntik semangat dan mampu menambah pendapatan sampingan kepada golongan jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah itu.

Menurutnya, aspek fardu kifayah yang sentiasa diutamakan kerajaan tanpa meminggirkan kepentingan fardu kifayah yang lain seperti mengekalkan imbuhan kepada hafazan al- Quran membuktikan kerajaan negeri bukan sekadar cakap, tetapi bertanggungjawab serta bersungguh-sungguh melaksanakannya sejajar dengan konsep `janji ditepati’.

Beliau juga berterima kasih dan menyanjung tinggi kesediaan kerajaan negeri yang turut menyediakan bayaran h RM2,000 setahun bagi setiap masjid untuk tujuan meningkatkan pengurusan jawatankuasa masjid.

Teganukita

No comments:

Post a Comment