Sunday, December 2, 2012
Doa Pas Tidak Ikut Kaedah Islam, kata Fathul Bari
Cara yang dipraktikkan Pas ketika mendoakan kehancuran Umno adalah tidak mengikut kaedah Islam seperti yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahya.
Beliau berkata dalam doa itu, Pas tidak menjelaskan secara spesifik bentuk kezaliman yang dimaksudkan, seolah-olah menuduh seluruh anggota Umno berlaku zalim.
Ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung Umno 2012 hari ini, beliau menceritakan kisah nabi Muhammad s.a.w yang mendoakan supaya ALLAH melaknat pihak yang menipu baginda semasa meminta nabi mengutuskan 70 pakar al-Quran untuk memenuhi beberapa kabilah, namun dibunuh di pertengahan jalan.
"Nabi doakan laknat ke atas mereka dalam setiap solat nabi selama sebulan, doa dalam qunut nazilah. Kemudian, Allah turunkan ayat menegur perbuatan nabi, dan nabi hentikan perbuatan itu.
"Doa nabi khusus kepada orang yang melakukan kezaliman itu, nabi sebut nama satu persatu. Persoalan sekarang doa yang dibaca Pas disebut perkataan umum, iaitu Umno," katanya.
"Adakah kita semua di sini menzalimi mereka? Adakah kita semua di sini menghancurkan mereka? Adakah kita semua di sini rasuah?," katanya disambut laungan "tidak!" oleh perwakilan Umno.
Fathul Bari berkata doa oleh Nik Razi Nik Mat, adik kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini menggunakan kaedah yang salah dan tidak memenuhi kriteria doa orang yang dizalimi.
Mengikut kaedah Islam, doa itu perlu dirujuk kepada satu pihak secara spesifik bersama bukti, perlu diletak perkataan 'sekiranya' jika tidak pasti dan perlu ada pernyataan memaafkan kepada pihak yang dirujuk, katanya.
Anak bekas mufti Perlis itu kemudiannya mengemukakan lima cadangan untuk berdepan dengan fitnah pembangkang, iaitu menyemarakkan budaya ilmu, mengamalkan politik kasih sayang, mengambil perkara baik yang diucapkan seseorang, mentaati pemimpin dan sepakat menolak budaya fitnah.
Memetik ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara terbuka memohon maaf kepada rakyat, Fathul Bari berkata pernyataan ikhlas itu merupakan contoh terbaik seorang pemimpin kerana sikap mohon maaf dan memaafkan adalah satu daripada bukti politik kasih sayang.
Menyentuh dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa Umno murtad, beliau berkata kenyataan itu merupakan satu tuduhan yang sangat berat yang perlu difahami secara bijak kerana menteri besar Kelantan itu tidak membuat pernyataan secara langsung, sebaliknya menggunakan kaedah ilmu mantiq.
"Kita kena hati-hati. Ini kenyataan bijak sebab beliau tidak menyebut secara langsung Umno itu murtad. Ini ilmu mantiq, ada mukadimah dan natijah.
"Dia kata perlekeh Islam murtad dan dia kata Umno perlekeh Islam tanpa menyebut natijah sedangkan ia sangat jelas. Dia hukum Umno murtad," katanya yang turut menayangkan video doa Pas dan kenyataan Nik Abdul Aziz itu.
No comments:
Post a Comment