Golongan pakar bidang agama dan saintis Islam negara ini disaran bergabung untuk mewujudkan satu bank data ilmu yang mengumpulkan hasil penyelidikan ilmiah yang selaras dengan tuntutan al-Quran.
Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datin Dr Azizan Baharuddin berkata hasil gabungan kepakaran dua bidang ini boleh menyumbang kepada kemajuan umat Islam di seluruh dunia.
"Rakyat Malaysia pada amnya terdidik dengan dua sistem pendidikan iaitu yang berteraskan Islam sepenuhnya dan satu lagi berteraskan sistem konvensional di mana telah melahirkan ramai pakar ekonomi, pakar fizik, saintis dalam pelbagai bidang.
"Jika digabungkan kepakaran dan kemahiran semua tokoh cendekiawan dalam agama dan sains ini, sudah pasti kita mampu merungkai apa sahaja masalah dalam rutin kehidupan menurut ajaran Islam yang sebenar," katanya pada sidang media di Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari (SQ) di Kuala Terengganu, semalam.
Seminar dua hari itu adalah anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama IKIM yang disertai 150 peserta dan 72 pembentang kertas kerja termasuk dari beberapa negara luar seperti Jordan, Oman, Iran, Nigeria dan Arab Saudi.
No comments:
Post a Comment