Sunday, December 2, 2012

PMBOA Sokong Naikkan Tambang Bas 30 Peratus


Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) bersetuju dengan saranan syarikat-syarikat bas agar kerajaan menaikkan tambang sebanyak 30 peratus untuk mengelak mereka mengalami kerugian dan terpaksa menamatkan operasi.

Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, cadangan yang dikemukakan Pengarah Urusan Konsortium Transnasional Sdn. Bhd., Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh itu mempunyai asas kukuh kerana pengusaha bas menanggung kos yang tinggi membabitkan penyelengaraan, kos tayar, tol, casis dan gaji pemandu.

Beliau mengulas kenyataan Mohd. Nadzmi baru-baru ini yang mencadangkan kerajaan agar mengkaji semula struktur tambang bas sebanyak 30 peratus ekoran kos penyelenggaraan dan harian bas yang semakin meningkat.

Mohamad Ashfar berkata, PMBOA telah menghantar satu memorandum mengandungi 15 cadangan pada 30 Julai lepas kepada Kementerian Kewangan untuk perhatian Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan polisi pengangkutan awam darat nasional dan menaikkan tambang bas sebanyak 30 peratus ekoran kos operasi bas yang semakin meningkat," katanya di sini semalam.

Ujarnya, cadangan berkenaan bertujuan membantu pengusaha bas ekspres dan bas henti-henti serta memastikan kebajikan pekerja terpelihara.

Kali terakhir kerajaan menaikkan tambang bas ialah pada 2008 dan sejak itu industri bas berdepan dengan peningkatan kos.

No comments:

Post a Comment