Monday, December 24, 2012

EPIC Bantu Pelajar Miskin Beli Kelengkapan Sekolah


Kegembiraan berganda jelas terlihat pada wajah 40 murid daripada keluarga kurang berkemampuan kerana bukan sahaja dibawa membeli-belah kelengkapan sekolah, tetapi turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti.

Semua pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah, Air Putih, nyata dibawa menonton wayang dan bermain boling di pusat beli-belah Mesra Mall, dekat Cukai sempena Program ‘Back To School’ 2013, anjuran Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) Bhd bertemakan ‘Epic Cares’.

Sebelum itu, mereka turut dibawa melawat tapak operasi Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Teluk Kalong, bagi memberi gambaran sebenar bagaimana operasi di kawasan perindustrian berkenaan.


Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awamnya, Zamri Awang berkata, program yang diadakan sejak 2009 itu kini sudah memasuki edisi ketiga tahun ini.

“Program ini sangat berbeza kerana selain meringankan beban ditanggung ibu bapa berpendapatan rendah untuk membiayai keperluan anak masing-masing memasuki alam persekolahan, kami turut menyediakan aktiviti lain sebagai hiburan.

"Pada masa sama, program ini juga membantu mengeratkan hubungan kakitangan syarikat dan murid kerana setiap kakitangan syarikat yang terpilih atau dikenali sebagai ‘buddy’ diberi tugas untuk menjaga serta beramah mesra dengan murid terlibat," katanya.

Turut turun padang memeriahkan program ialah Pengurus Besar Bahagian Pentadbiran, Sumber Manusia dan Perolehan syarikat, Mohd Isa Mujani.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, sepanjang program berlangsung, pihaknya dapatmelihat sendiri kegembiraan murid terbabit apabila dibawa membeli-belah kerana ada antara mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat berkenaan.

Menurutnya, ada juga yang tidak pernah membeli atau menikmati makanan di restoran makanan segera yangterkenal di daerah ini.

"Sekolah terpilih bagi program ini berlainan setiap tahun di sekitar daerah ini dan program juga diadakan untuk kepentingan pendidikan supaya memberi motivasi kepada mereka belajar bersungguhsungguh mencapai kejayaan dalam kehidupan," katanya.

Epic adalah anak syarikat Kerajaan Negeri dengan perkhidmatan utama menyediakan perkhidmatan sokongan kepada industri minyak dan gas, perkhidmatan pelabuhan serta perkhidmatan lain

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment