Friday, December 7, 2012

Gilmour Umum Persaraan Daripada AWMRT

Jurumudi veteran Datuk Peter Gilmour daripada pasukan Yanmar Racing mengumumkan persaraan daripada Siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) selepas perlumbaan Piala Monsun 2012 berakhir Sabtu ini.

Pelayar kelahiran Australia itu, yang merupakan juara dunia Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) sebanyak empat kali (1990, 1997, 1998, 2006) membuat pengumumam mengejut itu selepas menceburi dunia pelayaran selama 32 tahun pada sidang media harian Piala Monsun di Pulau Duyong.

Gilmour, 52, adalah salah seorang pesaing yang paling dihormati dan disegani dalam siri dunia WMRT.

Menyebut umur dan keputusan Yanmar untuk beralih penajaan kepada bidang lain sebagai alasan untuk bersara, ikon pemenang Anugerah BrandLaureate itu memilih untuk mengumumkan persaraannya semalam dan bukan pada perlumbaan akhir supaya tidak mahu mencuri perhatian daripada juara Piala Monsun tahun ini.

Gilmour, yang menjuarai Piala Monsun pada 2005 dan 2008, menegaskan bahawa keputusannya tidak akan menjejaskan tumpuannya pada saingan tahun ini untuk cuba merangkul kejuaraan piala berprestij itu.

Beliau berharap dua anak lelakinya iaitu David yang melakukan penampilan sulung di Piala Monsun di  Kuala Terengganu dan Sam, yang bertugas sebagai kru penyelenggaran dalam pasukan, akan meneruskan legasinya.

No comments:

Post a Comment