Monday, December 24, 2012

MB Bersama Mangsa Banjir Sepanjang Pagi di DUN Tepoh, Jabi


Hari pertama banjir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said sudah meninjau dua Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit iaitu DUN Tepoh dan DUN Jab yang jaraknya lebih 100 kilometer.

Pagi ini Menteri Besar bergegas ke Jabi dan dalam perjalanan singgah melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara bertempat di S.K.Tanjung Gelam, Kuala Terengganu.

Dalam lawatan singkat sebelum meneruskan perjalanan melawat mangsa banjir di daerah Setiu, Menteri Besar yang diiringi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh, turut bertanya khabar dan beramah mesra dengan mangsa banjir. Mereka dipindahkan ke sekolah terbabit sejak petang semalam.

Menteri Besar turut meninjau bilik darjah sekolah tersebut yang dijadikan tempat berteduh sementara untuk mangsa banjir.


Mereka terharu kerana Menteri Besar turun padang datang melawat walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Gelam, Rosli Mohamad berkata, seramai 91 orang daripada 25 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan terbabit bermula kira-kira jam 5 petang semalam.

"Mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah ini melibatkan penduduk dari dua buah taman perumahan iaitu Taman Desa Darul Iman dan Taman Seri Tanjung,” ujarnya.

Antara faktor yang menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air disebabkan sistem perparitan yang kurang baik, rumah dibina di kawasan rendah serta fenomena ombak besar yang menyebabkan air pasang berikutan kawasan tersebut berdekatan dengan pantai.

Dalam pada itu, rata-rata mangsa banjir melahirkan rasa bersyukur kerana agensi kerajaan contohnya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cepat bertindak dengan menghulurkan bantuan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, biskut serta selimut dan tikar untuk kegunaan mereka ketika berada di pusat pemindahan tersebut.

Di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Jabi, pula Menteri Besar disambut Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie, ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan pegawai kanan jabatan kerajaan.


Beliau sempat beramah mesra dengan mangsa selain menikmati jamuan tengah hari ‘ala kadar’ di sekolah berkenaan yang dijadikan tempat berteduh sementara untuk lebih 25 keluarga.

Banjir yang mula melanda daerah Setiu semalam seramai 94 orang dari Kampung Tok Dor dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Anak Ikan bermula jam 11 malam semalam. Menurut Ramlan, hujan masih turun dengan lebat.

Katanya, mangsa yang dipindahkan itu dibantu dengan makanan dan barangan keperluan di pusat pemindahan berkenaan. Beliau berterima kasih kerana Menteri Besar sudi datang melawat mangsa banjir di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment