Monday, December 24, 2012

Penduduk Pesisiran Pantai Diminta Bersiap Sedia Hadapi Air Pasang, Ombak Besar

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bertanya khabar mangsa banjir ketika melawat pusat pemindahan di SK Anak Ikan, Jabi, hari ini.

Penduduk negeri ini terutama yang tinggal di persisiran pantai diminta bersiap sedia kerana kemungkinan berlakunya banjir besar pada esok dan 26 Disember berikutan ombak besar berlaku disebabkan air pasang dijangka berlaku pada tarikh berkenaan.

Menteri Besar,Datuk Seri Ahmad Said berkata, jika air pasang dan hujuan masih berterusan dikhuatiri banjir besar akan melanda di beberapa kawasan rendah negeri ini kerana pertembungan kejadian itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) hari ini menasihatkan penduduk di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat peringkat jingga.



Menurut JMM,  hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa jajahan di Kelantan seperti, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh serta di beberapa daerah di Terengganu seperti Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, kata JMM dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Setakat pukul 6.00 petang ini jumlah kawasan banjir ialah 19 dengan mangsa banjir terus meningkat apabila sebanyak 707 orang berada di pusat pemindahan berbanding 144 mangsa petang semalam.

Semua mangsa ditempatkan di 18 Pusat Permindahan Banjir (PPB) yang dibuka sejak petang semalam. Menurut portal banjir kerajaan negeri, PPB Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 101 orang membabitkan 26 keluarga.

Manakala PPB SK Anak Ikan, Besut mencatatkan 94 mangsa daripada jumlah 25 keluarga, diikuti PPB SK Tanjung Gelam, Kuala Terengganu (91 mangsa-25 keluarga); PPB Dewan Sivik Seberang Pintasan Dungun (51 mangsa-11 keluarga) dan SK Pulau Serai, Dungun 49 mangsa-11 keluarga).

Sebanyak 10 lokasi dilaporkan banjir membabitkan enam daerah di Terengganu kecuali Kemaman. Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawasi anak-anak kecil agar tidak menjadi mangsa banjir.

“Selain itu, apabila diminta berpindah sementara ke pusat pemindahan yang disediakan, kepada pesakit kronik diingatkan supaya pastikan buku rekod perubatan dan ubat dibawa bersama manakala para ibu yang mengandung pula perlu pastikan keperluan peribadi dan bayi ada bersama mereka,” katanya.

Menteri Besar berkata ketika ini tiga daerah iaitu Dungun, Setiu dan Besut sudah mula dilanda banjir sejak malam semalam menyebabkan mereka yang terbabit kini dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan semua agensi terbabit mengambil tindakan segera menyelamatkan mangsa yang terbabit dengan banjir bagi mempastikan tidak ada nyawa yang terkorban.

“Masalah logistik dan keperluan lain termasuk bekalan makanan, selimut, perubatan, pusat pemindahan dan bot sudah lama disediakan pihak terbabit,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Jabi, dekat Jerteh hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah membuat persiapan yang cukup rapi untuk menghadpi bencana itu dan orang ramai perlu mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Menteri Besar berkata,kerajaan negeri juga sudah menyediakan peruntukkan khas bagi membina rumah baru jika mendapati mangsa banjir kehilangan tempat tinggal dalam bencana berkenaan.

Malah,katanya, kerosakan kemudahan awam terutama jalan raya juga akan diberi perhatian serius untuk memaikinya jika didapi rosak dan musnah dalam kejadian banjir tahun ini.

No comments:

Post a Comment