Wednesday, December 19, 2012

Sekolah Perikanan Di Lumut Dijangka Siap 2014

Sekolah latihan untuk nelayan laut dalam bernilai RM69 juta yang sedang dibina di Kampung Aceh, Lumut, Perak dijangka dapat menampung keperluan tenaga mahir dalam bidang itu.

Pengarah Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) Md Zuki Ismail berkata sekolah itu yang dijangka siap pada 2014 merupakan yang tercanggih di Asia Tenggara.

"Sekolah itu dapat menampung 600 pelatih bagi setiap kemasukan dan mampu melatih tenaga mahir dalam sektor perikanan yang mempunyai daya saing tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pembangunan Komuniti Nelayan 2012, anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya sekolah itu bertujuan menarik minat rakyat terutama golongan belia, menceburi bidang tersebut sekali gus menangani masalah kekurangan tenaga mahir tempatan.

Sekolah ini adalah yang ketiga diwujudkan selepas Sekolah Perikanan Chendering, di sini dan Sekolah Perikanan Tanjung Manis, Sarawak, katanya.

No comments:

Post a Comment