Monday, January 7, 2013

500 Penduduk Miskin Guna Perkhidmatan Van Percuma DUN Ladang


Seramai 500 penduduk miskin telah menggunakan perkhidmatan pengangkutan secara percuma yang disediakan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, di Kuala Terengganu  sejak setahun lalu.

Pegawai Pembangunan DUN Ladang Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata perkhidmatan itu disediakan untuk kemudahan penduduk miskin di kawasan Parlimen Kuala Terengganu berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Klinik Kesihatan Hiliran dan Klinik Pergigian Air Jernih.

"Lebih menyukarkan penduduk kerana tiada perkhidmatan bas bagi laluan Pasir Panjang-Sungai Derhaka menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat teksi dan membayar tambang yang agak mahal.

"Apatah lagi dengan keadaan mereka yang sakit, sukar untuk bergerak ke hospital bagi mendapatkan rawatan atau bekalan ubat...jadi kami menyediakan van ini sebagai kemudahan pengangkutan percuma untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas menziarahi beberapa pesakit yang ingin ke HSNZ menaiki van itu di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata perkhidmatan van percuma itu adalah langkah sementara untuk menyelesaikan masalah penduduk miskin yang tidak mempunyai kenderaan dan keutamaan diberi kepada warga emas, ibu tunggal dan pesakit kronik.

"Saya akan terus cuba memohon kerjasama syarikat bas henti-henti untuk memasukkan beberapa kampung di sekitar Pasir Panjang ini sebagai sebahagian daripada laluan mereka.

 "Dahulu, memang ada bas yang melalui kawasan ini namun operasi mereka dihentikan kerana tidak berapa menguntungkan," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Mamat Awang Mat Zin, 77, yang tinggal di kawasan Bukit Besar berkata beliau sangat gembira apabila dapat menggunakan perkhidmatan itu sejak setahun lalu.

"Sebelum ini, pak cik hanya naik basikal dari rumah ke Klinik Hiliran untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan bekalan ubat.

"Pak cik kena keluar rumah pukul 9 pagi kerana temu janji dengan doktor pada pukul 9.30 pagi dan perjalanan menaiki basikal mengambil masa setengah jam," katanya yang menghidap sakit batu karang dan darah tinggi.

 Seorang lagi warga emas, Fatimah Mohamad, 75, yang tinggal di Pasir Panjang berkata sebelum ini dia terpaksa menggunakan teksi untuk menjalani rawatan terapi di HSNZ dengan kadar bayaran RM15 untuk tambang pergi balik.

"Kadang-kadang pergi seminggu sekali, dalam sebulan dah RM60 untuk bayar teksi sahaja dan jumlah itu memang besar bagi makcik yang susah ni. "Makcik berharap sangat agar khidmat van percuma DUN Ladang ini akan diteruskan sampai bila-bila kerana banyak manfaatnya kepada orang susah macam mak cik," katanya yang menghidap pelbagai sakit kronik.

Van yang boleh memuatkan 11 orang penumpang itu akan mengambil pesakit di beberapa hentian atau di rumah bagi yang sakit kronik dan menghantar mereka ke hospital atau klinik kesihatan pada pukul 8 dan 10 pagi dan menjemput mereka pulang pada pukul 12 dan 4 petang setiap hari.

No comments:

Post a Comment