Wednesday, January 2, 2013

Acu Pisau Pada Ibu,Lelaki Kena Penjara Setahun


Gara-gara berkeras enggan memberikan wang seperti yang diminta, seorang warga emas, berdepan detik mencemaskan apabila diacukan pisau oleh anak kandungnya dalam satu kejadian di kediaman mereka, di Kampung Banggol, Mengabang Telipot, di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan si anak, Fazil Ngah @ Awang, 30, menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Fazil mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada ibunya, Hamidah Embong, 56, dengan niat menyebabkan mangsa berasa takut.


Fazil mengaku melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Banggol, Mengabang Telipot, 26 Disember lalu kira-kira jam 8 malam.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang tidak bekerja telah didatangi anaknya, Fazil, meminta sejumlah wang tetapi tidak diendahkan.

Bagaimanapun, Fazil naik angin dengan mengambil sebilah pisau di dapur dan mengacukan ke arah ibu malang itu.

Bimbang keselamatannya terancam memandangkan anaknya itu sering mengamuk sebelum ini, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, di Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment