Wednesday, January 2, 2013

PTCM, NGO Pertama Miliki Unit Berkuda


Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Terengganu melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi salah satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) pertama memiliki unit berkuda.

Ketua Turusnya, Mohd Nor Jusoh berkata, unit berkuda yang dikendalikan 20 anggota dan lima orang pegawai mula ditubuhkan sebulan yang lepas.

“Idea menubuhkan unit ini timbul kerana kebanyakan ahli tertinggi PTCM masing-masing mempunyai kemahiran berkuda dan memiliki sekurang-kurangnya seekor kuda.

“Memandangkan unit berkuda dapat membantu melakukan kerja-kerja kecemasan seperti menjaga keselamatan pantai, kami sepakat untuk menubuhkannya selain bersedia mengadakan pertunjukan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai di Kuala Terengganu.

Menurutnya, biarpun kekuatan unit berkuda sudah ada, PTCM masih membuka peluang kepada belia menyertainya untuk bersama-sama menjadi anggota sukarela yang mampu membantu pihak berkuasa sekiranya berlaku sesuatu kecemasan.

“Unit berkuda ini juga bakal membuat pertunjukan sempena pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 nanti dan diharap dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.

Menurutnya, kepada mereka yang berminat untuk menyertai PTCM, boleh mendapatkan borang secara terus di Tingkat 1, Bangunan Umno Bahagian Kuala Terengganu, Jalan Gong Kapas, Kuala Terengganu atau laman Facebook PTCM.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment